SISTEM PENDIDIKAN ISLAM UNIK DAN PRAKTIK

RATA-RATA masyarakat manusia hari ini berada dalam keadaan yang mencemaskan. Mereka diseret oleh pelbagai ideologi dan isme tanpa mengetahui haluan hidup sebagai insan di atas muka bumi ini. Mereka telah dijadikan medan atau bahan percubaan oleh pelbagai sistem pendidikan, politik, ekonomi, kemasyarakatan dan lain-lain tanpa menyedari hakikat sebenar kewujudan mereka sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Isra’ ayat 70-72 yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan. Kami beri mereka rezeki yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan."
“Ingatlah suatu hari (yang pada hari itu) Kami panggil setiap umat manusia dengan pemimpinnya, dan barang siapa yang diberi kita amalannya di tangan kanannya maka mereka akan membaca kitabnya itu dan mereka tidak dianiaya sedikit pun."
“Dan barang siapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar).”

 
CARA ISLAM MENDIDIK MANUSIA
Dalam mendidik manusia, Islam mengambil kira hakikat kejadian manusia yang terdiri daripada jasmani, akal dan jiwa, tanpa mengabaikan sebarang bahagian pun. Dengan itu, Islam mendidik manusia secara menyeluruh - meliputi semua aspek kehidupannya sama ada jasmani, akal dan jiwa atau kehidupan yang bersifat maddi (material) dan maknawi (spiritual). 


Pengabaian sebarang bahagian itu dikira menganiayai manusia sendiri dan boleh menyebabkan ketidakseimbangan sifat keinsanannya. Ia juga boleh menjejaskan hakikat sebenar kewujudannya di atas muka bumi. Ini akan menjejaskan taraf ubudiyah (perhambaan) manusia sebagai makhluk pilihan Allah SWT.  Firman Allah dalam Surah ar-Rum, ayat 30 yang bermaksud:
“... (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) ad-din yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

 
Di dalam Surah az-Zariyat ayat 56 pula Allah menjelaskan yang bermaksud:
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.”

 
Islam adalah ad-din Allah SWT yang diturunkan untuk manusia yang dijadikan dengan fitrah-Nya. Dengan perkataan lain, Islam adalah ad-din al-fitrah yang diturunkan untuk kemaslahatan manusia sendiri. Oleh itu, di dalam menangani pendidikan manusia, Islam memberikan hak yang sama rata, adil dan saksama kepada komponen kejadian manusia - jasad, akal dan jiwa. Pendidikan seperti ini tidak ada pada sistem-sistem lain atau agama-agama yang telah diselewengkan oleh pengikut-pengikutnya. 


Di kalangan sistem bukan Islam, ada sistem yang mementingkan sesuatu yang bersifat makhsus (boleh dikesan dengan pancaindera). Pada mereka, hanya sesuatu yang dapat dikesan dengan pancaindera bersifat hakiki manakala yang lain adalah tidak penting. Sistem pendidikan ini hanya memberikan perhatian kepada aspek maddi dan makhsus di dalam kehidupan manusia. Jika dimasukkan aspek roh atau jiwa, ia tidak dijadikan sebagai asas, terpisah serta tidak mempunyai pengaruh di dalam kehidupan maddi. 


Aqidah pada sistem tersebut, tidak menjadi asas kepada pembangunan maddi dan sesuatu yang bersifat makhsus. Sistem itu membangunkan kehidupan maddi dalam bidang kemasyarakatan, politik, ekonomi dan sebagainya. Pada masa yang sama, manusia yang dilahiran oleh sistem pendidikan itu menghadapi krisis di tengah-tengah pembangunan maddi di atas muka bumi ini. Sebaliknya, jika aqidah menjadi tonggak bagi semua pembangunan dan kegiatan hidup manusia, akan lahirlah kebenaran, keadilan, sifat bertimbang rasa, amanah, berakhlak, berkasih sayang serta saling menghormati antara satu sama lain. 


Ada pula sistem yang mementingkan aspek kerohanian semata-mata dan menganggap jasad dan sesuatu berkaitan dengannya sebagai kotor serta tidak harus diberikan perhatian, dipatuhi dan dituruti tuntutan dan kemahuannya. Natijahnya, manusia yang dilahirkan oleh sistem tersebut terpisah daripada pembangunan maddi serta berligar-ligar dengan kehidupan takasuf dan tasawuf mereka. Mereka terpisah daripada hakikat kewujudan insan sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi. 


Kedua-dua sistem itu jauh daripada hakikat fitrah insaniyah serta kejadian manusia seperti yang ditegaskan oleh al-Quran dalam Surah az-Zariyat ayat 56. 


Sebaliknya, Islam menghimpunkan aspek makhsus, maddi, kerohanian dan akal secara bersepadu, memberi dan menyahut kehendak masing-masing secara adil dan saksama tanpa menzalimi sebarang aspek pun. Proses pendidikan yang melibatkan ketiga-tiga komponen itu berjalan secara berterusan hingga melahirkan kesedaran bahawa setiap komponen saling memerlukan antara satu sama lain. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya bagi badan kamu ada haknya ke atas kamu.”

 
PELAKSANAAN IBADAH DAN PENDIDIKAN ISLAM
Meneliti setiap ibadah di dalam Islam, kita akan dapati bahawa instisari pelaksanaannya sebenarnya menterjemah-kan hakikat pendidikan Islam yang bersifat wehdah mutakamilah (bersatu secara bersepadu). Dengan perkataan lain, aspek jasad, akal dan roh bergabung di dalam pelaksanaan sesuatu ibadah. Sebagai contoh, seorang muslim hanya akan mencapai peringkat khusyuk di dalam solatnya apabila berlaku kehadiran hati, persaksian akal dan kepatuhan anggota. Begitu juga dalam pelaksanaan ibadah lain seperti puasa, zakat dan haji. Semua memerlukan gabungan seluruh komponen insan muslim untuk membolehkannya mencapai matlamat ubudiyah yang sebenarnya kepada Allah SWT. Hakikat ibadah di dalam Islam tidak akan tercapai tanpa penglibatan ketiga-tiga fakulti insan muslim secara serentak sewaktu pelaksanaan ibadah tersebut. Penglibatan ketiga-tiga komponen itu juga perlu dalam konteks ibadah yang umum dan luas bagi menjayakan setiap amalan dan pekerjaan yang dilakukan iaitu kekuatan fizikal, mental dan spiritual. 


Sistem bukan Islam juga menekankan penglibatan ketiga-tiga fakulti insan itu bagi menjayakan sebarang kegiatan. Bagaimanapun ia berbeza daripada Islam kerana dalam sistem itu, pembangunan aspek kerohanian tidak didasarkan kepada hakikat tauhid dan keyakinan kepada Allah SWT. 


PEMBABITAN TIGA FAKULTI INSAN DALAM PEKERJAAN HARIAN

 
Seorang muslim atau muslimah, sewaktu melakukan sesuatu pekerjaan dengan  menggunakan  tenaga fizikalnya, sebenarnya  tidak  pernah terpisah  daripada akal dan roh.  Ketika  jasad  menikmati  makanan,  minuman mahupun melayani syahwatnya,  pendidikan  Islam tetap  memainkan peranan iaitu menuntut setiap muslim  mengingati dan menyebut nama Allah serta berdoa kepada-Nya. 


Mengenai syahwat, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya  pada kemaluan kamu ada pahalanya. Mereka  berkata: 'Wahai  Rasulullah,  apakah  jika seorang daripada kami mendatangi syahwatnya akan mendapat pahala? ' Rasulullah bersabda: Tahukah kamu kalau ia diletakkan pada benda yang haram ia mendapat dosa? Begitu juga jika ia diletakkan pada yang halal, maka ia mendapat pahala.”

 
Islam  mendidik  jasad, akal dan roh  manusia  secara  bersepadu, terikat antara satu dengan yang lain sejajar dengan  kedudukannya sebagai khalifah Allah di muka bumi. Tidak pernah terpisah antara satu aspek dengan yang lain. Natijahnya lahirlah insan saleh yang memakmurkan bumi ini serta melaksanakan hakikat pembangunan yang sebenarnya di dalam kehidupan manusia. 


Seorang  muslim  dikira mengingkari nikmat Allah  jika  ia  tidak menggunakan  kemampuan jasad, akal dan rohnya  untuk  memakmurkan alam  ini  dengan cara menyingkap rahsia  alam,   mengenal  pasti rezeki   Allah   yang  sungguh  luas  di  muka   bumi   ini   dan mempergunakannya bagi membangun dan memajukan kehidupan manusia. 


Seorang  muslim  juga dikira mengingkari nikmat  Allah  sekiranya ia  tidak menggunakan rohaninya bagi mengenal  Allah, berhubung dan  beriman dengan Allah,  memohon   kekuatan   daripada-Nya,  menerima petunjuk-Nya dan beramal atau bekerja mengikut  petunjuk tersebut bagi membangunkan kehidupan rohaninya di samping melatih dirinya supaya  gemar kepada kebaikan,   kasih  sayang,  merasai persaudaraan serta mensyukuri nikmat kebendaan yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya dengan membelanjakannya pada jalan Allah dan berihsan kepada mereka yang susah dan menderita. 


Dia   juga  dikira  mengingkari  nikmat  Allah sekiranya tidak menggunakan kekuatan akalnya untuk mengenal pasti  rahsia-rahsia alam dan sunnahnya, untuk mengetahui sunnah Allah yang  terdapat dalam alam  maddi  (kebendaan)  dan  kehidupan  manusia  serta  menggunakannya untuk menyusun kehidupan manusia, membetulkannya dan berjalan mengikut sistem yang lurus. 


PENDIDIKAN ISLAM MELAHIRKAN KESEIMBANGAN

 
Keseimbangan antara ketiga-tiga aspek itu (roh, akal dan jasmani) merupakan sifat insan saleh. Keseimbangan itu akan melahirkan insan yang sempurna sifat kemanusiaannya,     melahirkan keseimbangan  dari segi keimanan kepada alam yang wujud dan alam yang  ghaib. Keseimbangan itu juga akan  melahirkan  keseimbangan dalam   kehidupan   sama   ada  dari   segi   politik,   ekonomi,  kemasyarakatan  dan semua kegiatan hidupnya.  Firman Allah  dalam Surah Al-Baqarah, ayat 143 yang bermaksud:
“Dan  begitulah  Kami menjadikan kamu (umat Muhammad  SAW)  ummah yang  adil (pilihan) agar kamu menjadi saksi di akhirat kelak  ke atas  umat  yang lain dan Rasulullah SAW menjadi  saksi  ke  atas kamu.”

 
Keistimewaan sistem pendidikan Islam ialah kemampuannya untuk melahirkan insan saleh yang memiliki sifat-sifat ijabiah (positif) yang menguasai setiap tindakannya di dalam kehidupan di muka bumi ini. Namun, tidak dinafikan sifat-sifat salbiyah (negatif)  seorang  muslim sering cuba mempengaruhinya.  Bagaimanapun, hasil pendidikan Islam  yang  bersepadu meliputi ketiga-tiga komponen di atas menjadikannya mampu  bertindak positif atau menghasilkan tindakan yang  positif di dalam semua keadaan. Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud:
“Sungguh menghairankan keadaan orang mukmin. Sesungguhnya semua keadaan baik  baginya. Tidak ada (keadaan itu) pada orang lain  kecuali  pada orang mukmin. Jika ia mendapat sesuatu yang menggembirakan  dia bersyukur  kepada Allah SWT, maka yang demikian itu  adalah  baik baginya. Jika  ditimpa  kesusahan  dia  bersabar,  maka  yang demikian itu adalah baginya.”

 
Manusia adalah makhluk yang mempunyai pelbagai persediaan. Ada yang bersifat positif  dan ada pula yang bersifat negatif.  Sekiranya  persediaan  tersebut  dibiarkan  tanpa  kawalan, bimbingan  dan  didikan yang mengambil kira ketiga-tiga aspek  keinsanan itu, maka  natijahnya  akan  berlakulah ketidakseimbangan  dan  akan lahirlah  sifat-sifat  yang  kadangkala positif dan kadangkala negatif. Dengan perkataan lain lahir sikap ‘double standard’ dalam tindakannya. 


Dalam sistem pendidikan Islam, makhluk insan mempunyai jisim  dan roh,  hati dan akal,  perasaan  dan  jasad. Seseorang  muslim tidak akan berjaya, merasai bahagia  dan tidak membangun secara adil dan saksama melainkan setelah semua unsur diberi hak pendidikan yang sama  rata dan adil pula. 


SISTEM PENDIDIKAN ISLAM: REALITI DAN CONTOH

 
Islam  memahami  realiti  (waqi’i)  manusia. Islam memahami batas-batas kemampuan, kehendak dan keperluan manusia.  Islam memberi hak yang saksama  dan kadar yang adil bagi semua keperluan manusia. Firman Allah SWT  dalam Surah al-Baqarah, ayat 286 yang bermaksud:
“Allah tidak mentaklifkan pada diri seseorang  melainkan dengan kadar kemampuannya.”

 
Pendidikan bukan Islam hanya mengetengahkan  pandangan, pendapat, idea atau teori yang menambahkan perbendaharaan ilmu  pengetahuan  semata-mata, sebaliknya sistem  pendidikan Islam adalah satu sistem mithali (contoh)  dan  waqi’i.   Rasulullah  SAW  adalah mithali yang waqi’i (contoh  yang  praktikal). Apabila kita mengatakan bahawa al-Quran al-Karim adalah dustur (perlembagaan) hidup Muslim, kita dapati sifat-sifat yang disebutkan oleh al-Quranul al-Karim  terserlah  pada  peribadi  Rasulullah  SAW.  Ini dijelaskan  sendiri  oleh isteri baginda, Saidatina  Aishah RA., ketika ditanya tentang akhlak Rasulullah SAW dengan katanya, “Akhlak baginda ialah Al-Quran.” 


Baginda  Rasulullah  SAW menjadi ikutan umat Islam  dalam semua  perkara. Firman Allah dalam Surah al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud:
“Sesungguhnya adalah bagi kamu pada Rasulullah SAW itu contoh yang baik.”

 
Ketika  hayat  Rasulullah  SAW  ada segolongan orang  Islam yang  ingin meningkatkan ibadah  kepada Allah SWT ke tahap yang tinggi kerana merasai  ibadat mereka  sangat  kurang  berbanding ibadat  Rasulullah  SAW.
“Daripada Anas RA, katanya: Telah datang tiga orang  sahabat di rumah isteri-isteri Rasulullah SAW. Mereka bertanya tentang  ibadah Rasulullah SAW. Apabila diberitahu, mereka  berasa  ibadah mereka  terlalu sedikit berbanding dengan ibadah  Rasulullah SAW. Lagipun Rasulullah SAW diampunkan dosanya yang telah lalu dan akan  datang. Salah seorang daripada mereka berkata:  ‘Saya akan melakukan solat pada waktu malam selama-lamanya.’ Berkata seorang  lagi: ‘Saya akan berpuasa sepanjang masa tanpa  berbuka.’ Berkata seorang lagi: Saya akan menjauhi wanita dan  tidak akan berkahwin selama-lamanya.’ Maka Rasulullah SAW datang menemui mereka dan bersabda: ‘Kamukah yang berkata demikian dan demikian? Demi  Allah  sesungguhnya akulah orang yang paling  takut  kepada Alah  SWT dan paling bertaqwa kepada-Nya tetapi aku  berpuasa  dan aku berbuka,  aku bangun bersolat dan aku tidur, dan aku berkahwin dengan  wanita. Barang siapa yang tidak suka dengan sunnahku, dia bukan daripada golonganku.” 


SUMBER PENDIDIKAN ISLAM

 
Generasi  para sahabat adalah  generasi yang   dilahirkan  melalui tarbiyah (pendidikan) yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW bersumberkan wahyu Allah SWT semata-mata iaitu al-Quranul  al-Karim.  Rasulullah  SAW tidak mahu dan tidak pernah mencampur-adukkan sumber pendidikannya dengan yang  lain. Suatu ketika Rasulullah nampak Umar al-Khattab memegang beberapa naskhah kitab Taurat. Baginda melahirkan rasa tidak  senangnya terhadap tindakan Umar itu  lalu bersabda:
“Demi Allah, jika Musa hidup dikalangan kamu sekarang, ia mesti mengikutku.”

 
Meyakini  sumber al-Quranul al-karim dan berasa cukup dengannya semata-mata  sebagai  sumber pendidikan itulah yang melahirkan  satu generasi yang unik penuh dengan keagungan dan  kebaikan sehingga generasi itu mendapat  pujian  Allah  SWT seperti yang diungkapkan di dalam ayat  yang bermaksud:
“Kamu adalah sebaik-baik umat dikeluarkan untuk manusia.” (ali-Imran: 110)
“Dan  begitulah  Kami menjadikan kamu umat  pertengahan supaya  kamu menjadi saksi atas manusia dan Rasul itu menjadi saksi atas kamu.” (al-Baqarah: 142)

 
Jika keyakinan baginda kepada sumber tersebut lemah sudah tentu keunikan peribadi yang dibentuk juga menjadi lemah berbanding  umat lain. 


PERLU KEMBALI KEPADA PENDIDIKAN YANG HAKIKI

 
Masyarakat manusia  hari  ini  menghadapi   berbagai-bagai masalah  dan jenayah yang sukar diatasi. Pelbagai teori dan formula diketengahkan bagi menyelesaikan masalah tersebut tetapi tiada suatu teori dan  formula yang berjaya menyelesaikannya, sebaliknya keadaan semakin membimbangkan  dan  masyarakat kian  takut   menghadapi ancaman masalah yang  kian meningkat. Pelbagai penyelidikan telah dijalankan dengan kos yang besar tetapi  tidak juga mencapai kejayaan yang diharapkan. Yang sedihnya  masyarakat  orang-orang Islam  juga  terikut-ikut dengan cara yang  dilakukan  oleh  orang  lain. Kebanyakan mereka membelakangkan formula Islam yang pernah  dijalankan oleh Rasulullah SAW dalam menyelesaikan masalah. Padahal, kaedah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW telah terbukti berjaya melahirkan umat  contoh yang tidak  ada tolok  bandingnya di dalam sejarah manusia dari dahulu hingga sekarang dan mungkin ke akhir zaman. 


Bagi   orang-orang  Islam,  prasyarat yang ada perlu bagi menyelesaikan  masalah  yang  kian rumit ini ialah  membuka  hati  nurani mereka untuk meyakini Islam  sebagai ad-din yang lengkap dan meyakini hanya sistem pendidikan Islam sahaja mampu menyelesaikan masalah  yang  dihadapi oleh  masyarakat dunia. Kita perlu membina keyakinan ini, bukan kerana taksub kepada Islam semata-mata, sebaliknya berdasarkan kenyataan sejarah yang mempersaksikan kejayaan Muhammad  SAW membentuk umat terpilih di tengah-tengah  kekusutan masalah  yang dihadapi oleh masyarakat manusia ketika itu sehingga dapat melahirkan umat yang mendapat pujian dan jolokan al-Quran al-karim sebagai: “Kamu adalah sebaik-baik umat dikeluarkan oleh manusia.”

 
Kita perlu meyakini al-Quran al-Karim  sebagai  sumber  pendidikan  kerana  ia diturunkan untuk mendidik umat manusia, membentuk masyarakat dan menegakkan peraturan  di tengah-tengah  masyarakat   manusia. Kita perlu melalui proses   pendidikan  yang berpanjangan supaya hati kita dididik sehingga dapat menjiwai wahyu  Allah  SWT serta menghayatinya dalam realiti kehidupan. 


Pendidikan  Islam  memerlukan masa yang cukup panjang kerana jiwa manusia tidak boleh berubah sepenuhnya di dalam masa  yang pendek untuk bertafa’ul (berinteraksi) dengan manhaj  Ilahi  yang  menjadi induk  kepada sistem pendidikan Islam yang syamil dan  kamil. Inilah rahsia al-Quranul Karim  diturunkan oleh Allah SWT secara  beransur-ansur (munajjaman) selama kita-kira 23  tahun.