1. PENDAHULUAN
Sebelum kita mengupas dengan lebih mendalam tajuk ini, adalah lebih elok dahulu kita memahami makna perkataan-perkataan dalam tajuk ini misalnya ‘Falsafah’, di dalam Kamus Dewan memberi penerangan bahawa falsafah ialah pengetahuan tentang pengertian-pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi atau sebagai dasar ilmu-ilmu lain. Berfalsafah bermakna memikir secara mendalam tentang sesuatu (Dr. Teuku Iskandar, 1984: 298)[i]. ‘Sejarah’, mengikut definisi yang diberikan oleh Aristotle, bahawa ia merupakan satu sistem yang mengira kejadian semulajadi dan tersusun dalam bentuk kronologi. Pada masa yang sama, menurut beliau juga sejarah adalah peristiwa-peristiwa masa lalu yang mempunyai catatan, rekod-rekod atau bukti-bukti yang kukuh[ii]. ‘Cabaran’ iaitu merujuk Kamus Dewan edisi ke empat, cabaran diertikan sebagai sesuatu yang menguji kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi. Manakala ‘Sistem’ adalah merupakan istilah dari bahasa yunani “system” yang ertinya adalah himpunan bahagian atau unsur yang saling berhubungan secara teratur untuk mencapai tujuan bersama[iii]. Dan ‘Pendidikan’ ialah dari akar kata ‘didik’ bererti pelihara, jaga (dengan hati-hati), ajar. Mendidik bererti menjaga (memelihara dan sebagainya) dan melatih (mengajar dan lain-lain) baik-baik (Dr. Teuku Iskandar, 1984:262). Dan ‘Guru’ ialah mengikut Kamus Dewan bermaksud pengajar, pendidik atau pengasuh. Manakala ‘Negara’ ialah suatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan di perintah oleh sebuah kerajaan (Dr. Teuku Iskandar, 1984:792).
2. FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA
Falsafah Pendidikan Negara Brunei Darussalam adalah merupakan usaha berterusan dengan mengambil kira keperluan duniawi dan ukhrawi iaitu bukan duniawi semata-mata dan bukan juga ukhrawi semata-mata. Dan bersumberkan ilmu naqli dan aqli ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi melahirkan insan yang berilmu dan berkepandaian, beriman, bertaqwa dan beramal serta berakhlak mulia yang akan menimbulkan suatu identiti kebangsaan berdasarkan falsafah negara iaitu Melayu Islam Beraja bersendikan kepada ajaran-ajaran Agama Islam menurut Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai tapak pertumbuhan ketaatan kepada Agama, Raja dan Negara Brunei Darussalam.
Jika dikaitkan dengan sistem pendidikan guru di Negara Brunei Darussalam adalah untuk menjadikan setiap guru-guru di Negara ini berlimu dan berkepandaian dalam mendidik anak bangsa bersumberkan daripada al-Quran dan Hadith agar penyusunan kurikulum, kaedah penyampaian ilmu itu tidak bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
3. SEJARAH RINGKAS MAKTAB PERGURUAN SULTAN HASSANAL BOLKIAH
Maktab Perguruan Sultan Hassanal Bolkiah asalnya ialah Pusat Latihan Perguruan Brunei (Brunei Teachers Training Centre) dan ianya ditubuhkan pada tahun 1956.[iv] Pada penghujung tahun 1957 dapat mengeluar guru terlatih yang pertama seramai 24 orang pelajar Tahun III. Sepanjang kewujudan maktab perguruan ini, boleh dikatakan mengalami empat peringkat perubahan tempat dan nama. Peringkat pertama pada tahun 1956-1958, ia ditempatkan di bangunan sementara dan dinamakan sebagai Pusat Latihan Perguruan Brunei. Peringkat kedua antara tahun 1959-1962 maktab ini berpindah ke bangunannya yang kekal di Berakas dan ia diberi nama Maktab Perguruan Melayu Brunei dengan perbelanjaan $800,000.00. Nama ini diberikan ada kemungkinan pada masa itu keseluruhan pelajarnya terdiri daripada aliran Melayu sahaja. Peringkat ketiga pada tahun 1963-1971, namanya ditukar kepada Maktab Perguruan Brunei disebabkan pelajarnya terdiri daripada aliran Melayu dan Inggeris. Peringkat keempat pada tahun 1972-1985 sekali lagi ditukarkan namanya menjadi Maktab Perguruan Sultan Hassanal Bolkiah kerana mengambil sempena nama Sultan Brunei ke-29 yang bertempat di Gadong. Pelajarnya terdiri aliran Melayu dan inggeris.[v]
Kursus yang ditawarkan ialah selama tiga tahun. Pada tahun 1950-an, Syarat kemasukan ke maktab ini pada peringkat awal ialah lulus Darjah 5 dan Darjah 6 sekolah rendah Melayu. Keadaan ini semakin berubah dari semasa ke semasa apabila aliran Melayu mempunyai pendidikan menengah, maka pada awal tahun 1960 syarat kemasukan maktab perguruan dipertingkatkan iaitu lulus Darjah 7 atau Darjah 8 setaraf dengan Tingkatan 1 dan Tingkatan 2. Pada tahun 1967, syarat kemasukan telah dinaik tarafkan sekurang-kurangnya lulus Sijil Rendah Pelajaran.[vi] Mulai tahun 1971, Cuma kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Am Pelajaran peringkat biasa yang diterima masuk ke Maktab Perguruan. Perubahan ini dibuat bagi menyesuaikan dengan keadaan perkembangan semasa dalam bidang pendidikan di Brunei.[vii]
Pada 28hb Oktober 1985, Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah ditubuhkan atas sebab perkembangan pesat bidang pendidikan dan Maktab Perguruan Sultan Hassanal Bolkiah telah dinaik taraf menjadi Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah di bawah Fakulti Pendidikan UBD. Ia bertujuan bukan sahaja untuk melahirkan bakal-bakal guru untuk mengajar di sekolah menengah tetapi juga para mahasiswa-mahasiswi boleh melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Pendidikan. Bagi meningkatkan kualiti pendidikan guru, pensyarah-pensyarah yang ada di maktab tersebut mereka dikehendaki meneruskan pengajian ke peringkat sarjana.[viii]
3.1 Cabarannya
3.1.1 Aliran Melayu
Dan cabaran sistem pendidikan guru melayu secara ringkasnya ialah; bakal-bakal guru sebelum Brunei mempunyai maktab perguruan sendiri pada tahun 1956 telah menjalani pendidikan guru di luar negeri iaitu di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak pada awal tahun 1930-an. Dan kemudiannya pada tahun 1949, bakal-bakal guru yang mengambil jurusan perguruan dihantar ke Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching, Sarawak. Ini adalah kerana kos perbelanjaan adalah lebih murah daripada kos penghantaran ke Maktab Sultan Idris. Dan setelah itu, pada tahun 1956, penghantaran bakal-bakal guru ke Maktab Perguruan Batu Lintang diberhentikan kerana kerana masalah penguasaan Bahasa Inggeris pelajar tidak mencukupi dan masalah keagamaan iaitu mengenai makan sehidang dengan pelajar bukan Islam yang menimbulkan keraguan dikalangan mereka. Kemudian selepas itu kerajaan Brunei telah menubuhkan Maktab Perguruannya sendiri pada tahun 1950-an atas sebab kos perbelanjaan yang meningkat tahun demi setahun, namun setelah itu diteruskan lagi penghantarannya hingga tahun 1960-an kerana masalah kekurangan guru disamping masalah kekurangan pensyarah di Brunei untuk mengajar bakal-bakal guru. Dan bertambah teruk lagi bila tertubuhnya sekolah melayu taraf menengah, guru aliran melayu yang layak adalah amat kurang terutama pelajaran matematik dan sains. Oleh kerana itu, kerajaan mengambil langkah dengan ditugaskan guru-guru dari Malaysia, Singapura dan Indonesia untuk mengajar. Di samping itu juga, kerajaan tidak hanya mengharapkan guru-guru luar negeri juga, mereka menggalakkan guru tempatan untuk mengambil peperiksaan awam secara persendirian untuk meninggikan taraf akademik agar dapat mengajar di sekolah menengah sekaligus kenaikan gaji yang khas. Dan pada tahun 1980-an masalah kekurangan guru melayu telah dapat diatasi malahan berlebihan, oleh itu kerajaan terpaksa menghentikan pengambilan aliran melayu di Maktab Perguruan.
3.1.2 Aliran Inggeris
Dan adapun cabaran sistem pendidikan guru Inggeris secara ringkasnya, seperti yang dijelaskan di atas tadi masalah yang timbul adalah kekurangan guru sekolah di Brunei, termasuklah juga aliran Inggeris yang berlarutan masalahnya hingga tahun 1980-an. Mengikut sejarah, pada permulaannya guru-guru tempatan di sekolah Inggeris adalah amat berkurangan kerana mengikut dasar pendidikan Brunei tahun 1950-an yang tertumpu kepada sekolah melayu sahaja. Walaupun ada sebilangan kecil orang tempatan yang berpendidikan Inggeris, namun mereka tidak berminat dalam bidang perguruan. Oleh itu pihak kerajaan mengambil keputusan untuk mengadakan rancangan pengambilan guru-guru luar negeri seperti Singapura, Malaysia, Australia dan sebagainya tambahan lagi dengan munculnya sekolah Inggeris bertaraf menengah tinggi. Dan pada tahun 1954, Brunei membuat perjanjian dengan Malaysia dengan menghantar bakal-bakal guru(Malaysia) aliran Inggeris seramai 5 orang setahun berkursus di Maktab Perguruan Malayan Kirkby, England (The Malayan Teachers Training College Kirkby) dengan perbelanjaan yang ditanggung oleh kerajaan Brunei, sebagai imbalan, bagi yang lulus diarahkan untuk bertugas di sekolah Brunei selama 5 tahun. Dan pada tahun 1959 penghantaran dihentikan kerana masalah kos perbelanjaan. Di samping penghantaran ke Maktab Perguruan Malayan Kirkby, Brunei juga menghantar guru-guru pelatih tempatan aliran Inggeris ke Maktab Perguruan Kota Bharu, Kelantan dan Maktab Perguruan Singapura hinggalah tahun 1964 dihentikan atas sebab Maktab Perguruan Brunei menjalankan kursus perguruan dalam aliran Inggeris. Namun khidmat guru-guru Inggeris luar negeri masih diperlukan kerana kerajaan menyedari tenaga pengajar dari luar walaupun mendatangkan berbagai masalah terutama dari segi kos yang tinggi yang perlu ditanggung, ia terpaksa dilakukan kerana tenaga pengajar aliran Inggeris adalah kurang sedangkan pelajar-pelajar semakin bertambah.
4. SEJARAH RINGKAS MAKTAB PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN
Bangunan Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan mula dibina pada 8 Julai, 1968 atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk bercemar duli meletakkan batu asas maktab ini pada tarikh tersebut yang bertempat KM 2, Jalan Tutong, Bandar Seri Begawan. Baginda juga telah memperkenankan supaya maktab ini diberi nama Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan menerusi warkah baginda Bil: HHPO. 11/64 bertarikh 7 Julai, 1971.[ix]
Pembinaan bangunan maktab ini telah dapat disempurnakan pada akhir tahun 1970. Untuk menjadikan perjalanan Maktab ini lebih teratur dan tersusun pentadbirannya, maka persiapan-persiapan seperti melantik seorang pengetua, tenaga-tenaga pengajar serta kakitangan pentadbiran telah diusahakan dan akhirnya dapat disediakan sebelum maktab ini memulakan tugasnya sebagai pusat bagi Latihan Perguruan Ugama yang pertama di Negara Brunei Darussalam.[x] Daripada MPUSB inilah lahirnya sumber tenaga tempatan yang terlatih dalam bidang perguruan ugama di negara ini.[xi]
Semenjak penubuhan maktab ini, dua jenis kursus telah dijalankan, iaitu Kursus ‘A’ dan Kursus ‘B’. Kursus ‘A’ ialah untuk penuntut yang mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Ugama (SPU) atau Sijil Pelajaran Singapura (SPS) atau Brunei-Cambridge GCE peringkat ‘O’ atau mana-mana sijil yang sebanding dengannya. Manakala Kursus ‘B’ pula ialah bagi penuntut yang mempunyai Sijil Rendah Pelajaran Brunei (SRPB) atau Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau mana-mana sijil yang sebanding dengannya. Akan tetapi mulai tahun 1985, pengambilan penuntut bagi Kursus ‘B’ telah ditiadakan sehingga sekarang.[xii]
Pada 8 Januari, 1972, Latihan Perguruan Ugama yang pertama dan teratur telah dimulakan dengan bilangan penuntut-penuntutnya seramai 30 orang yang memegang Sijil Rendah Pelajaran (S.R.P) dan dimasukkan ke dalam Kursus 'B'. Pada awal bulan Julai 1972 itu juga seramai 30 orang lagi penuntut-penuntut baru telah mengikuti Latihan Perguruan di Maktab ini yang mana 26 orang daripadanya adalah pemegang Sijil Pelajaran Malaysia/Malaysia Certificate of Education (SPM/MCE) dan mereka (26 orang itu) dimasukkan ke dalam Kursus 'A'.[xiii]
Pada tahun 1978, kerajaan telah bersetuju meningkatkan taraf sebahagian daripada mereka, iaitu seramai 20 orang dinaikan sebagai Guru Ugama Tingkatan Khas dengan kenaikan tangga gaji yang ditentukan dengan tujuan untuk meninggikan taraf dan kedudukan mereka di semua bidang.
Sekitar 1990-an syarat kemasukan Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan, ialah lulus Sijil Pelajaran Ugama (SPU), Brunei-Cambridge GCE peringkat ‘O’ atau sijil sebanding dengannya. Selepas dinaikkan taraf Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan (MPUSB) menjadi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), taraf kelayakan untuk memasuki KUPU SB, ialah lulus Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) atau Brunei-Cambridge GCE peringkat ‘A’ atau sijil sebanding dengannya.
Selain dari itu juga, kursus pra maktab untuk penuntut mualaf telah diadakan pada tahun 1992, ianya kursus perguruan yang dikhaskan bagi calon-calon yang terdiri daripada anak-anak mualaf dari seluruh negara yang mana mereka dikecualikan dari syarat-syarat akademik yang asas. Tujuan kursus pra maktab ini untuk menyelesaikan ketiadaan guru ugama di sekolah-sekolah pendalaman serta membantu kerja dakwah (penyibar Islam) di pendalaman. Mereka diberi latihan intensif selama 9 bulan atau 10 bulan dengan diberi penekanan dalam pelajaran membaca dan menulis jawi serta mengeja huruf ayat-ayat al-Quran. Setelah menjalani latihan intensif tersebut, mereka akan dimasukkan ke tahun 1 bersama-sama penuntut baru bagi pengambilan sesi Julai.[xiv]
Setelah berkembangnya pendidikan di Brunei Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan (MPUSB) ditingkatkan tarafnya menjadi sebuah universiti dengan nama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) pada tahun 2007. Kursus yang ditawarkan ialah peringkat Diploma Perguruan Ugama yang bertaraf Diploma Tinggi Kebangsaan (HND) dan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama.[xv]
4.1 Cabarannya
Secara ringkas cabarannya ialah jika dahulu, guru ugama yang mengajar adalah terdiri daripada guru tempatan iaitu pegawai masjid dan orang-orang dalam bidang agama, dan tidak ada kelulusan dalam bidang perguruan serta kerja mengajar hanya sambilan sahaja. Dan pada masa itu matapelajaran tidak dapat diajarkan secara menyeluruh kerana kekurangan guru di sekolah-sekolah. Oleh kerana itu pihak kerajaan telah mengambil guru-guru keluaran Maktab Perguruan Sultan Idris yang berkelulusan sijil syariah untuk bertugas dan diberi elaun bulanan sebanyak $25.00[xvi]. Pada tahun 1956, guru ugama Johor telah diambil bertugas di sekolah-sekolah rendah Ugama di 7 buah sekolah di Brunei, dan dikatakan seramai 9 orang sahaja di ambil pada masa itu dan mereka di ambil bertugas secara berkontrek dan dipilih berdasarkan pengalaman mengajar iaitu tiada sijil perguruan.Manakala pada tahun 1957, guru-guru ugama tempatan Brunei mula diambil dan dikategorikan kepada tiga iaitu; guru pelatih, guru tidak terlatih dan guru terlatih. Dan pada masa itu ia adalah diiktiraf dan dimartabatkan sebagai jawatan tetap dalam perkhidmatan kerajaan. Jika dibandingkan pada masa ini setiap guru-guru yang mengajar adalah perlu ada sijil perguruan dan yang sebanding dengannya barulah dapat menjawat jawatan sebagai tenaga pengajar.Adapun pada penghujung tahun 1950-an, sistem pengambilan guru ugama tempatan dilakukan dengan cara memilih calon-calon yang sesuai iaitu sekurang-kurangnya yang pandai membaca dan menulis jawi dari kalangan orang dewasa. Dan mereka ini dilantik sebagai guru pelatih iaitu dengan menghadiri kelas kursus perguruan pada setiap hari Sabtu sahaja.Kemudian pada tahun 1960-an, oleh kerana murid-murid sekolah ugama semakin bertambah, pihak kerajaan telah meningkatkan jumlah guru-guru tempatan dengan mewujudkan kursus singkat selama setahun iaitu jika dilihat dari sejarah, seramai 250 orang guru terlatih telah dikeluarkan iaitu dari 22 Mei 1966 hingga Mei 1972. Ini adalah bagi menampung keramaian murid-murid yang semakin bertambah. Dan oleh kerana guru pelatih ditugaskan mula ditugaskan di sekolah-sekolah, kelas Sabtu mahupun kursus perguruan ugama tidak dapat dilakukan dengan sepenuh masa. Di samping itu juga, Brunei pada masa itu tidak ada mempunyai maktab perguruan ugama sendiri untuk dijadikan pusat latihan dan kerana itulah pihak kerajaan menghadapi kesulitan mengatur rancangan latihan perguruan ugama (perlaksanaan kursus perguruan tidak kemas dan teratur) dan melahirkan lebih ramai guru tempatan juga tidak dapat dilakukan disebabkan kekurangan tempat dan pensyarah. Dan setelah itu, telah ditubuhkan Maktab Perguruan Ugama di Brunei hasil daripada cadangan Osman Mohd Said[xvii] dan secara rasmi dicadangkan oleh Pengetua Jabatan Hal Ehwal Ugama Brunei dan kemudian diperkenankan oleh Sultan Omar Ali Saifuddien III. Antara tujuannya adalah untuk melatih guru ugama tempatan menjadi guru ugama terlatih, membanyakkan keluaran guru ugama tempatan dan tidak terlalu bergantung kepada guru ugama luar negeri.
5. CABARAN SECARA KESELURUHAN
Apa yang jelas disaksikan ialah bahawa masyarakat di mana guru-guru atau yang bernama 'guru' mengajar telah berubah dan akan terus berubah. Kita telah mengalami proses perubahan ekonomi dan sosial, kemajuan sains dan ilmu pengetahuan, perubahan kebudayaan dan lain-lain yang membawa kesan kepada perubahan sikap, pandangan, cara berfikir, cara bertindak, cara bekerja, perilaku, pertimbangan dan sebagainya.
Dari segi pembelajaran, corak pembelajaran berubah dari tidak formal kepada formal, daripada kurang tersusun kepada lebih teratur baik dari segi kurikulum, sukatan pelajaran, kitab atau buku yang digunakan, kaedah atau teknik mengajar juga berubah dari berpusat kepada guru kepada berpusat kepada pelajar. Dari segi logistik tempat belajar berpindah daripada balai kepada bilik darjah dan sekolah yang lebih kemas dan lengkap.
Persoalan yang sering ditimbulkan ialah kenapa pengajaran mereka yang bergelar 'guru' di masa lampau yang tidak mendapat pendidikan perguruan formal itu lebih berkesan? Kenapa tidak timbul banyak masalah sosial dibanding dengan sekarang? Apa yang dapat kita perhatikan di sini bahawa perubahan itu adalah suatu yang sentiasa berlaku. Manusia akan terus mengalami perubahan sepanjang hidupnya dan manusia wajar untuk menyesuaikan dirinya dengan arus perubahan itu.
6. CABARAN DAHULU DAN SEKARANG
6.1 Cabaran Sekarang
Guru-guru yang akan mengajar di abad ke-21 ini menghadapi cabaran yang besar dari guru-guru sebelumnya. Kepada guru-guru, tugas mereka bertambah berat lagi kerana bukan sahaja mereka menghadapi cabaran-cabaran perubahan dan perlu berubah, tetapi mereka pada masa yang sama juga bertanggungjawab untuk mengurus perubahan tersebut. Mereka berhadapan pada setiap hari dengan pelajar-pelajar dan anggota masyarakat yang juga mengalami perubahan-perubahan ini.
6.2 Cabaran Dahulu
Guru-guru pada masa ini menghadapi cabaran yang lebih besar dari masa lalu. Kalau pada zaman dahulu guru-guru hanya menghadapi kesulitan komunikasi kerana tidak ada jalan raya dan kurangnya prasarana, menghadapi masalah kekurangan buku dan bahan mengajar. Tetapi sekarang prasarana sudah bertambah baik dengan buku-buku dan rujukan yang mencukupi serta peralatan mengajar yang moden, malah ada yang sudah canggih.
7. KESIMPULAN
Setelah dijelaskan tentang tajuk Falsafah, Sejarah dan Cabaran sistem pendidikan guru di Negara Brunei Darussalam sebelum dan selepas merdeka, dapatlah disimpulkan bahawa jika dibandingkan keduanya tidak lari daripada falsafah pendidikan negara dan tujuan asal pendidikan iaitu untuk mendidik anak Bangsa dengan melahirkan insan yang berilmu dan berkebolehan dalam segala bidang yang diceburi. Mungkin dari sejarah banyak cabaran dan kesukaran yang perlu ditempuhi dalam menjayakan sistem pendidikan guru yang berkesan, baik dari segi kekurangan guru yang berkaliber mahupun kos perbelanjaan yang tinggi dalam menghantar untuk berkursus di luar negari dan sebagainya. Namun segalanya akan dapat diatasi jika semua pihak berganding bahu dalam mengatasinya. Dan jika dilihat daripada aspek cabaran pengambilan guru, banyak yang menjurus kepada pengeluaran guru yang bermutu dalam ilmu pengajaran dan pembelajaran, kerana jika tiada ilmu, bagaimana negara akan maju dan sampai bilakah hanya mengharapkan khidmat guru luar negeri, namun dari sejarah kebanyakan keluaran guru-guru dahulu tidak mempunyai kelulusan dalam bidang perguruan(jawatan guru terlatih) dan hanya pengalaman mengajar sahaja. Jadi dari sana timbullah bermacam-macam kesukaran yang perlu ditempuh oleh pihak kerajaan dalam mencari jalan mengatasinya dan mempertingkatkan sistem pendidikan guru yang lebih baik. Alhamdulillah jika kita lihat sistem pendidikan guru pada masa ini adalah lebih teratur dan segala masalah yang timbul pada zaman sebelum merdeka telah dapat diatasi secara berperingkat-peringkat dan ditambah lagi dengan kewujudan sistem Pendidikan Negara ABAD ke 21 ( SPN 21) membawa impak yang besar kepada semua lapisan guru samada guru pelatih mahupun guru yang sedang berkhidmat. Guru terpaksa mengubah persepsi lama kepada persepsi baru selaras dengan keinginan SPN 21 melalui pengajaran dan pembelajaran. Sistem Pendidikan Negara Abad 21 atau SPN 21 yang bertujuan untuk memperkasa modal insan negara dalam menghadapi cabaran-cabaran pembangunan di era globalisasi ini. Ini bermakna guru telah diuji keupayaanya agar dapat beradptasikan dan merupakan satu cabaran kepada seorang guru.
8. CADANGAN
Peranan Dan Ciri-Ciri Yang Wajar Dimiliki Oleh Guru Pada Masa Ini.
1. Guru mesti mempunyai sikap keguruan yang sebenarnya, iaitu bertanggungjawab, dedikasi dan komited kepada kerjanya, prihatin kepada pelajarnya, berdisiplin dan tegas dalam tindakannya, menjadi contoh dan ikutan kepada pelajar dan rakannya. Menjadi guru di sekolah dan di luar sekolah. Ia menjadi calak kepada kemuliaan akhlak pelajar-pelajarnya.
2. Abad ke-21 akan terus membawa perubahan akibat globalisasi, kemajuan ilmu sains, teknologi dan pengetahuan. Kita akan berhadapan dengan perubahan paradigma masyarakat serta perubahan persepsi terhadap Islam. Semua ini akan terus mewarnai dunia dengan pelbagai warna mengakibatkan berlakunya perubahan yang tidak dapat dijangkakan. Semua ini akan memberi kesan kepada penduduk dunia. Dalam konteks ini, guru mesti dapat memahami perubahan-perubahan ini. Paling mustahak guru mesti dapat mengurus dan menjadi pengurus kepada perubahan-perubahan ini dan bukan menjadi penonton kepada perubahan ini.
3. Guru mesti memainkan peranan sebagai pemimpin dan paling kurang sebagai pemimpin dalam bilik darjahnya. Guru mesti berusaha untuk memperkembangkan setiap potensi pelajarnya dari semua segi termasuk intelek dan rohaninya. Pelajar perlu dididik menjadi kreatif dan inovatif. Ini tidak dapat dicapai kalau gurunya sendiri tidak bersedia untuk menjadi seorang guru yang inovatif dan kreatif.
4. Sebagai seorang profesional, guru mesti memahami akan keperluan pelajar-pelajarnya dalam pembelajaran dan pengajaran. Guru mesti melengkapkan dirinya selaku penyelidik di bilik darjahnya untuk dapat mengenal pasti pencapaian pelajar-pelajarnya, menilai keberkesanan pengajarannya, mengukur keberkesanan pembelajaran pelajarnya. Mengkaji dan berusaha membaiki pengajaran dan pembelajaran pelajarnya. Guru mesti menjadi seorang penyelidik pendidikan.
5. Seorang pendidik mesti mengamalkan sikap sebagai seorang pelajar. Guru mesti terus berulit dengan ilmu dan berusaha setiap masa menerusi apa jua salurannya untuk menambah dan memperbaharui ilmunya. Ilmu pengetahuan berkembang dengan cepat selaras dengan perkembangan masa. Guru hendaklah mengejar kemajuan ilmu jika ia akan terus menjadi guru hari ini untuk melahirkan masyarakat hari esok. Secara ringkasnya guru mesti menjadikan pembelajaran seumur hidup sebagai budaya hidupnya selaras dengan anjuran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang menganjurkan kita menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.
[i] httpwww.majlisilmu.org.bnilmu2005archievebio-kkpgdr.pdf
[ii] http://www.sabahan.net/forum/showthread.php?tid=922
[iv] Haji Awang Asbol bin Haji Mail, 2010, Sejarah Perkembangan Pendidikan di Brunei 1950-1985, Brunei: Asia Printers
[v] Haji Awang Asbol bin Haji Mail, 2010, Sejarah Perkembangan Pendidikan di Brunei 1950-1985, Brunei: Asia Printers
[vi] Haji Mohd Salleh bin Haji Lebar. 2009. Pengurusan Sekolah Di Malaysia Dan Negara Brunei Darussalam: Kecemerlangan Akademik Dan Kokurikulum. Brunei: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[vii] Haji Awang Asbol bin Haji Mail, 2010, Sejarah Perkembangan Pendidikan di Brunei 1950-1985, Brunei: Asia Printers
[ix] Awang Haji Abu Bakar bin Haji Mohd. Don, 1989, Prospektus 1989, Brunei: Jabatan Percetakan Kerajaan
[x] Jabatan Pengajian Islam, 1996, Pendidikan Ugama Di Negara Brunei Darussalam, Brunei: Jabatan Percetakan Kerajaan
[xi] Haji Mohd Salleh bin Haji Lebar. 2009. Pengurusan Sekolah Di Malaysia Dan Negara Brunei Darussalam: Kecemerlangan Akademik Dan Kokurikulum. Brunei: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[xii] Awang Haji Abdul Hamid bin Mohd. Daud, Dato Seri Setia, 2004, Perkembangan Persekolahan Agama Di Negara Brunei Darussalam 1956-1984, Brunei: Dewan Bahasa Dan Pustaka Brunei
[xiii] Jabatan Pengajian Islam, 1996, Pendidikan Ugama Di Negara Brunei Darussalam, Brunei: Jabatan Percetakan Kerajaan
[xiv] Jabatan Pengajian Islam, 1996, Pendidikan Ugama Di Negara Brunei Darussalam, Brunei: Jabatan Percetakan Kerajaan
[xv] Haji Mohd Salleh bin Haji Lebar. 2009. Pengurusan Sekolah Di Malaysia Dan Negara Brunei Darussalam: Kecemerlangan Akademik Dan Kokurikulum. Brunei: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[xvi] Haji Awang Asbol bin Haji Mail, 2010, Sejarah Perkembangan Pendidikan di Brunei 1950-1985, Brunei: Asia Printers
[xvii] Haji Awang Asbol bin Haji Mail, 2010, Sejarah Perkembangan Pendidikan di Brunei 1950-1985, Brunei: Asia Printers