MUQADDIMAH
Pendidikan dalam Islam merupakan suatu perkara yang amat penting dan mempunyai kedudukan yang tinggi bagi sesebuah negara. Pada umumnya pendidikan Islam bertujuan untuk melahirkan al Mukmin al Salih dan dalam masa yang sama berjaya menjadi khalifah Allah di bumi, dapat hidup bahagia di dunia dan di akhirat.
Sebagaimana juga dasar pendidikan Negara sangat jelas iaitu ke arah kesempurnaan insan dan hanya akan dapat dicapai melalui ilmu yang bermanafaat dan akhlak yang mulia. Ilmu menjadi kekuatan dan senjata manakala akhlak pula sebagai perhiasan dan benteng pertahanan diri bagi membentuk insan yang cemerlang dan digalati.
“Pendidikan pada khususnya mestilah jelas, bahawa keperluan umum tidak akan mengatasi keperluan ugama. Dalam makna, pendidikan ugama juga hendaklah sama-sama diutamakan. Diperingkat asas, pendidikan ugama hendaklah sempurna, sementara diperingkat tinggi pula hendaklah mampu melahirkan ulama dan cendekiawan berwibawa. Jangan sama sekali ia kurang atau dikurangkan kerana berdasarkan fakta sejarah di mana-mana sahaja, jika pendidikan ugama lemah, maka akan lemahlah pula bangsa“.(Titah KDYMM, 2000)
Ini bermakna, pendidikan ugama juga hendaklah sama-sama diutamakan. Diperingkat asas, pendidikan ugama hendaklah sempurna, sementara di peringkat tinggi pula hendaklah mampu melahirkan ulama dan cendekiawan berwibawa. Berdasarkan fakta sejarah di mana-mana sahaja, jika pendidikan ugama lemah, maka akan lemahlah pula bangsa. Baginda juga menyeru para pentadbir, ibu bapa dan masyarakat supaya membina bangsa di atas wadah ilmu dan agama. Kedua-duanya mestilah bersepadu, tidak boleh dipisah-pisahkan.
Oleh itu, beberapa isu yang dibincangkan di sini adalah di sekitar pendidikan Agama di semua persekolahan, secara umumnya isu-isu yang diketengahkan merupakan isu-isu lama yang sentiasa baru. Di antaranya ialah :
1. GURU / PENDIDIK
Secara ringkasnya peranan guru menurut prespektif Islam itu bermakna seorang yang mengajar ilmu pengetahuan yang memberi menafaat, mendidik murid, membentuk budi pekerti dan peribadi agar murid berakhlak mulia, menunjukkan jalan yang benar yang diredhai oleh Allah. Guru menjadi contoh yang berkesan, ikutan yang berpengaruh, membimbing murid-muridnya agar membuat penilaian yang betul di antara baik dan buruk, hak dan batil, dosa dan pahala, syirik dan tauhid. Di samping menyampaikan nilai-nilai murni dan unggul agar dapat diterima dan dihayati oleh murid-muridnya.
1.1. KEWIBAWAAN GURU UGAMA
Seringkali kita mendengar mengenai kewibawaan guru ugama yang diperkatakan oleh orang awam mengatakan guru ugama kurang wibawa atau guru ugama tidak mencerminkan sebagai seorang guru ugama yang berpegang teguh kepada ajaran-ajaran Islam. Guru ugama sering dibandingkan oleh orang-orang awam dengan guru-guru yang mengajar dalam pendidikan umum. Guru-guru ugama kurang menunjukkan sahsiah yang sewajarnya sebagai seorang pendidik yang menjadi “role model” kepada anak didiknya.
Terdapat guru-guru yang tidak menitikberatkan soal ugama terhadap diri mereka sendiri. Apa yang sangat mengejutkan mengenai suatu kenyataan dari orang awam mengenai guru ugama lelaki yang tidak mahu menampilkan diri apabila dikehendaki untuk membaca suatu doa dalam satu majlis keugamaan. Ada juga didapati guru-guru ugama yang jarang atau tidak sekali-kali menghadirkan diri ke majlis-majlis keugamaan di kawasan persekitaran tempat tinggal guru berkenaan. Tidak pernah menghadirkan diri di masjid yang berhampiran tempat tinggal mereka. Persoalan timbul, mengapa perkara ini boleh terjadi? Di manakah kewibawaan seorang guru itu di hadapan masyarakat sekeliling?. Bagaimana pula kepercayaan orang awam terhadap guru ugama? Kepercayaan anak didiknya terhadap gurunya? Tentu sekali boleh menjejaskan kepercayaan dan kewibawaan terhadap guru itu sendiri yang mana akibatnya lebih besar di mana disebabkan segelintir guru yang melakukannya menyebabkan seluruh guru yang menerima tempiasnya.
Masyarakat sekarang juga sering memandang rendah terhadap jawatan sebagai Guru Ugama. Tidak seperti zaman 60an dahulu di mana guru-guru ugama dianggap sebagai orang yang dihormati, disegani atau digalati. Kerana mereka ini telah menunjukkan kewibawaan sebagai seorang pendidik, ketakwaannya, ilmu pengetahuannya dan sebagainya. Oleh itu perlulah guru-guru ugama yang ada sekarang mencontohi mereka ini dalam menonjolkan diri sebagai seorang guru yang berwibawa, digalati dan disegani.
“Akhlak dan peribadi yang terpuji bagi seorang guru hendaklah menjadi basahannya sambat malamari, menjadi pembawaannya tengah malam badanihari, sebati macam isi dan kuku, sehingga menjadi darah dagingnya”. (Pehin Menteri KHEU, 1981) .
Oleh itu guru-guru ugama sepatutnya menyedari perkara ini bermula dari mengikuti kerjaya perguruan bahawa profesion ini merupakan suatu profesion yang sangat berat. Janganlah dijadikan profesion ini sebagai pilihan terakhir dalam mencari pekerjaan. Memandangkan sudah berada di dunia pendidikan maka sepatutnya hendaklah diubah pemikiran itu. Kerana boleh menjejaskan pendidikan yang hanya sekadar melepaskan batuk di tangga, mengajar sambil lewa sahaja akibat buruk terhadap anak bangsanya sendiri.
Didapati juga guru yang tidak mahu memajukan dirinya sebagai guru ugama, tidak mahu menambah ilmu mereka. Mereka merasakan sudah cukup ilmu yang mereka pelajari sewaktu kursus di Maktab Perguruan dahulu. Akibatnya mereka tidak dapat menjelaskan dengan tepat dan kaku apabila berhadapan dengan murid misalnya dalam mata pelajaran Tauhid. Murid tidak jelas apa yang diterangkan yang mengakibatkan murid hanya menghafal pelajaran berkenaan. Jadi keadaan ini menyebabkan dasar pendidikan negara yang ingin dicapai itu tidak terlaksana kerana beberapa faktor yang disebutkan tadi.
1.2. KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN GURU
Kaedah pengajaran dan pembelajaran guru adalah juga yang sering diperkatakan. Kerana kaedah mengajar ini adalah merupakan sebagai salah suatu method yang digunakan bagi menyampaikan isi pelajaran. Kaedah pengajaran dan pembelajaran ini merupakan topik hangat dikalangan masyarakat sehingga ada kata-kata sumbang seperti “Anak saya gagal kerana gurunya tidak pandai mengajar” , “guru hanya mengajar dengan kaedah chalk and talk sahaja” “Guru mengajar duduk sahaja” dan sebagainya. Guru lebih banyak menggunakan kaedah syarahan daripada kaedah lain yang lebih menarik.
Sebahagian guru bersikap malas untuk menggunakan alat bantu mengajar selain dari buku teks dengan alasan tidak disediakan oleh pihak Kementerian tanpa mahu berusaha sendiri. Ada juga persepsi guru yang mengatakan membuang masa untuk menyediakan alat bantu mengajar. Masa satu period tidak mencukupi untuk menyediakannya kerana terpaksa menghabiskan sukatan pelajaran dan sebagainya. Alat Bantu mengajar juga memerlukan wang bagi mendapatkannya semantara pihak berkenaan tidak menyediakan peruntukan kewangan. Ini menyebabkan guru-guru tidak bermotivasi untuk menggunakannya dalam pengajaran.
Ada juga guru yang mengajar mata pelajaran yang tidak relevan dengan kelulusannya contohnya : guru yang berkelulusan Sijil Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan diberi tugas mengajar mata pelajaran umum ( Matematik, Sains, Bahasa Inggeris, Ilmu Alam dan sebagainya ) bagi guru-guru yang ditugaskan mengajar di Sekolah Arab, menyebabkan guru menghadapi kesukaran dalam mengajar mata pelajaran tersebut dan hanya berdasarkan pengalaman ketika bersekolah.
Jadi sebagai guru perlu membuat persediaan yang secukupnya sebelum pengajaran bermula dengan memikirkan seterusnya menyediakan apa yang perlu disampaikan, kaedah yang hendak digunakan beserta dengan alat Bantu yang bersesuaian agar proses pengajaran dan pembelajaran akan berjalan lancar mengikut masa yang ditetapkan dan insya Allah akan mencapai objektif di akhir pengajaran.
Kurangnya kerjasama padu di antara guru-guru ugama dan umum dalam pendidikan Islam di sekolah menengah dan rendah di mana anggapan pendidikan ugama hanya terletak di bahu guru-guru ugama, sementara guru-guru umum tidak menghiraukannya walaupun kita tahu bahawa guru umum itu juga beragama Islam. Misalnya kewajipan menutup aurat sedangkan ada didapati guru-guru umum yang tidak menutup aurat ketika sukan sekolah. Ataupun guru-guru umum tidak membuat teguran kepada pelajar-pelajar yang mendedahkan aurat. Jadi bebanan guru ugama adalah berat tanpa ada kerjasama semua pihak dalam menyampaikan pendidikan agama dan sedikit sahaja keberkesanannya.
Perlu disedari oleh semua pihak bahawa pendidikan agama adalah menyeluruh, universal tanpa batas pemisah dan dapat disalurkan kepada mata-mata pelajaran yang lain tanpa menghilangkan identiti pelajaran itu sendiri. Jika masih terhad atau terbatas kepada ruang masa, tempat, mata pelajaran dan ustaz ustazah sahaja seperti yang ada sekarang tentu tidak akan menghasilkan sebagaimana yang diharapkan.
2. MURID / PELAJAR
Sejak akhir-akhir ini kita sering dikejutkan dengan isu yang sangat membimbangkan. Misalnya baru-baru ini telah disiarkan mengenai laporan kes jenayah bagi tahun 2007 melalui suratkhabar tempatan dari pihak berkuasa Polis Di Raja Brunei :
“Daripada keseluruhan tangkapan, 1,607 orang adalah warga tempatan dan 1,097 orang adalah warga asing dengan 506 orang yang ditangkap warga tempatan itu mempunyai pekerjaan, 156 orang tidak bekerja dan sebanyak 57 penuntut.
Bagi kes pecah rumah dan curi, 505 kes dilaporkan dengan 89 tangkapan dibuat di mana 94 peratus tangkapan itu terdiri dari warga tempatan dan 29 peratus tangkapan di bawah umur turut dibuat dengan usia termuda yang ditangkap ialah 8 tahun”. ( Media Permata,14 Februari 2008 )
Dari laporan ini, apa yang ingin kita sentuh ialah mengenai penglibatan pelajar dalam kes-kes jenayah tersebut yang mana sejumlah 57 orang penuntut terlibat dan didapati usia yang termuda berusia 8 tahun. Seperti yang kita maklum bahawa usia yang semuda itu sepatutnya sedang berada di alam persekolahan dalam darjah 3 sekolah Rendah dan darjah 1 sekolah Ugama.. Berbagai-bagai persoalan timbul dimanakah silapnya? Siapakah yang patut disalahkan? Apakah punca masalah ini?
Kita tidak mahu mencari siapa yang patut disalahkan dalam persoalan ini tetapi adalah bagi mencari sesuatu jalan atau alat bagi mengatasinya.
“Alat yang paling baik dan tepat ialah pendidikan. Pendidikan adalah pintu segala-galanya. Dengan pendidikan manusia akan jadi baik dan dengan pendidikan juga seseorang boleh jadi rosak atau jadi perosak”. ( Mufti Kerajaan, 2002 ).
Pendidikan boleh dilakukan secara formal dan tidak formal. Kedua-duanya adalah penting. Ianya adalah serasi sering lengkap melengkapi, cukup mencukupi dan sempurna menyempurnakan antara satu sama lain. Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan seseorang.
“عن ابى هريرة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : مامن مولود الا يولد على الفطرة فابواه يهودانه وينصرانه ويشركانه …”
Dari Abu Hurairah r.a katanya : Rasulullah saw bersabda : “Setiap kanak-kanak yang baharu lahir itu adalah di dalam keadaan fitrah (bersih dan putih) maka kedua ibubapanyalah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani dan Musyrik”. (Riwayat Muslim)
Jadi tugas pendidik Islam ialah untuk memupuk, mengembangkan dan memelihara potensi yang sedia ada dalam diri anak didik dalam rangka mencari keredhaan Allah SWT. Aspek lain yang perlu dikembangkan ialah semangat untuk bertahan hidup dan aspek keterampilan anak didik. ( Gamal , 2002 )
Kedua-dua pernyataan di atas jelas mengambarkan bahawa setiap kanak-kanak itu adalah dicorakkan oleh pendidikan yang diterimanya sama ada secara formal mahupun tidak formal Selain itu, betapa pentingnya perancangan mengenai pendidikan yang akan membentuknya bagi mencapai tujuan dan matlamat pendidikan Islam. Bagi memberikan ilmu pengetahuan dan menyerapkan nilai-nilai Islam ke dalam diri setiap anak atau pelajar agar dengan itu mereka dapat menghayati, melaksanakan dan menanai ajaran-ajaran pengetahuan Agama Islam serta menjadikan mereka muslim dan muslimah yang beriman dan bertaqwa.
“Penglibatan semua pihak khususnya para ulama dan ibu bapa hendaklah ditekankan dan dipertingkatkan dalam pendidikan” (Resolosi Seminar Pendidikan Dan Profesionalisme, 2005)
“Namun demikian masih terasa adanya hambatan-hambatan besar dalam mencapai matlamat-matlamat pembinaan keperibadian murid yang mencapai kepaduan antara ilmu yang berguna, iman yang mantap, akhlak yang mulia dan jasad yang sihat. Faktor-faktor penghambat itu berpunca dari rumahtangga, sekolah, pembuat-pembuat dasar, alam sekitar sosiobudaya dan kontradiksi-kontradiksi dalam kehidupan masyarakat semasa. Kelemahan-kelemahan guru berhubung dengan dedikasinya kepada ilmu yang diajarnya, cara mengajarnya dan kepincangan-kepincangan dalam kurikulum juga tidak kurang besar sahamnya dalam hambatan-hambatan tadi”. (Prof.Dr.Mohd.Kamal Hassan, 1994 )
Perkongsian tanggungjawab di antara ibubapa dan guru-guru adalah sangat penting dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak atau pelajar. Masing-masing melaksanakan peranannya dengan sebaik-baiknya dalam menuju matlamat yang dinyatakan di atas tadi. Agar ada kesinambungan pendidikan yang diperolehi oleh anak-anak secara berterusan. Memandangkan soal pendidikan bukanlah suatu perkara yang mudah kerana yang hendak dibentuk itu adalah seorang manusia yang akan meneruskan kehidupan dari satu generasi ke satu generasi.
Sering juga kita mendengar keluhan dan keresahan para ibu bapa, penjaga, para ilmuan dan masyarakat umumnya mengenai murid-murid atau pelajar-pelajar yang tidak boleh atau kurang lancar dalam membaca Al Quran dan melakukan sembahyang sebagaimana yang sepatutnya. Sedangkan mereka ini lulus dalam peperiksaan bagi mata pelajaran Agama. Ada diantaranya telah menamatkan persekolahan ugama darjah VI, yang lebih meresahkan lagi ramai pelajar Islam gagal dalam peperiksaan bagi mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam. Sedangkan pelajaran ini menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa penyampainya. Mereka boleh lulus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Di mana silapnya? Mengapa ini boleh terjadi?. Dalam hal ini perlukan penyelidikan ilmiah bagi menjawab persoalannya.
Menurut kajian secara rambang didapati dalam 5% pelajar-pelajar sekolah menengah tidak tahu melakukan cara taharah dengan sempurna (mandi hadath dan wudhu). Yang menyedihkan mereka ini ada yang telah tamat persekolahan ugama , ada yang berhenti sebelum tamat darjah VI, selain ada yang memang langsung tidak bersekolah ugama secara formal. Pihak Jabatan pengajian Islam telah memberikan program kefahaman Taharah dan pelaksanaan sembahyang fardhu diadakan pada cuti penggal persekolahan I secara serentak seluruh negara selama 4 hari dengan melibatkan guru-guru ugama perempuan dan hasilnya kurang mendapat sambutan daripada pelajar kerana musim cuti persekolahan. Dan telah diadakan kali kedua semasa bulan ramadhan 2007 selama 10 hari melibatkan semua pelajar menengah 1,2 dan 4 seluruh negara.
Timbul lagi rungutan ibu bapa di mana anak mereka akan bersekolah ugama jika sekolah tidak menerima anak mereka kerana kepadatan bilik darjah. Semenjak 2 tahun ini kepadatan bilik darjah berlaku semenjak Jabatan Pengajian Islam dikembalikan ke kementerian Hal Ehwal Ugama dan beberapa sekolah menengah telah menutup persekolahan ugama kerana kepadatan pelajar memasuki sekolah menengah. Namun hal ini telah dapat diatasi dengan perundingan dua belah pihak mengenai perkara ini dengan meminjam beberapa bilik darjah di beberapa buah sekolah rendah. Ini menunjukkan keperluan untuk ditambah dan dibangun lebih banyak sekolah bagi persekolahan ugama bagi kemudahan dan keselesaan murid dalam pendidikan ugama.
3. KURIKULUM
Kurikulum adalah merupakan salah satu elemen penting dalam membincangkan isu pendidikan ugama Islam. Termasuk juga dalam kurikulum ialah mengenai buku teks dan sukatan pelajaran. Perkara ini turut sama diambil perhatian berat oleh Raja kita terhadap kepentingan pendidikan Agama di Negara ini sebagaimana yang dititahkan oleh baginda:
“Kerana itu beta ingin melihat peranan ‘besar’ itu dilaksanakan secara berkesan. Dan untuk ini, penyusunan semula atau pengemaskinian semua yang berkaitan dengan persekolahan dan pendidikan agama hendaklah dibuat termasuk juga menyemak sukatan dan kurikulumnya.” ( Titah KDYMM, Perutusan Sempena Menyambut Tahun Baru Hijrah 1427 pada 30 Januari 2006 )
Baginda menitahkan dengan menyarankan supaya disusun semula dan dikemaskinikan semua yang berkaitan dengan persekolahan dan pendidikan agama termasuk juga meneliti, menyemak sukatan dan kurikulumnya. Kurikulum pendidikan Agama menghendaki pengemaskinian selari dengan tuntutan zaman teknologi maklumat dan era globalisasi asalkan tidak menghilangkan dasar pendidikan Agama iaitu berpandukan Al Quran dan Sunnah.
Kementerian Hal Ehwal Ugama sebagai indung kepada Pendidikan Islam telah mengambil langkah dalam mengemaskinikan kurikulum, buku teks, sukatan pelajaran di persekolahan ugama serta peralatan pengajaran dan lain-lain yang berkaitan dengan peningkatan persekolahan ugama peringkat rendah dan menengah termasuklah persekolahan Arab dan Ma’had Tahfiz bermula pada tahun 2006 dan tahun 2008 ini mula digunakan buku-buku teks di persekolahan ugama. Dengan memberi keutamaan peringkat awal pendidikan dari kelas Pra hingga darjah III ialah bimbingan dan didikan yang menumpukan kepada kepentingan Fardhu ‘Ain.
Semua kanak-kanak perlu diberikan bimbingan sepenuhnya dalam menyempurnakan Fardhu Ain. Dengan yang demikian, semua yang terlibat dalam pendidikan awal persekolahan ugama wajib mempastikan bahawa ketika kanak-kanak berada dalam darjah III iaitu apabila mereka berusia 10 tahun, semuanya telah berkebolehan dan sudah terbiasa menunaikan ibadah sembahyang dengan sempurna, bacaannya sempurna, rukun-rukun sempurna, wudhunya sempurna, hal-hal mengenai bersuci dari hadas dan najis juga telah sampai kepada mereka dengan sempurna.
Isu yang sering kita dengar mengenai kurikulum sebelum ini ialah kurikulum yang tidak sesuai dengan tahap pemikiran murid misalnya mata pelajaran Faraidh bagi tajuk Munassahat tidak sesuai jika diajarkan bagi darjah VI dalam usia yang 11-13 tahun. Kurikulum bagi darjah pra dan darjah I adalah sama dan berulang. Perlu dikaji dan difikirkan semula kewajarannya.
Sebelum tahun 2008 ini sering diperkatakan dan menjadi isu hangat mengenai buku teks, di mana buku teks ugama telah lapuk, stail lama, ejaan lama, tidak menarik, tidak ada gambar dan ilustrasi, terdapat fakta yang salah dan sebagainya khususnya bagi buku teks Pengetahuan Ugama Islam yang di gunakan di sekolah-sekolah menengah seluruh Negara bagi menengah I, II, III, IV dan V masih tidak berubah dari semenjak lebih 30 tahun yang lalu. Dengan keterampilan buku yang tidak lagi memenuhi peredaran zaman. Ada juga suara sumbang mengatakan jika dulu neneknya yang menggunakan sekarang cucunya masih menggunakan buku teks yang sama. Sepatutnya perkara ini telah diambil berat oleh pihak berkenaan semenjak 20 tahun yang lalu. Memandangkan buku teks ini adalah merupakan satu bahan rujukan dalam menyampaikan kandungan isi pelajaran dan menjadi bahan rujukan dan bacaan pelajar dan orang awam. Walau bagaimanapun penggunaan buku teks baru telah bermula tahun 2008 ini, dengan mengambil kira tentang penampilan, berwarna, menggunakan ejaan jawi Za’aba, bergambar, ilustrasi yang menarik dan sebagainya. Namun belum digunakan secara keseluruhan peringkat persekolahan misalnya sekolah menengah 3, 4 dan 5 masih dalam proses percetakan.
Sebanding dengan buku teks segi sukatan pelajaran juga telah diambil perhatian. Mudahan masalah sukatan pelajaran yang terlalu padat dan terpaksa dihabiskan sebelum menjelang peperiksaan menyebabkan pengajaran guru hanya untuk peperiksaan kognitif semata-mata tanpa mengambil kira sudut afektif dan psikomotornya akan dapat diatasi bersama buku teks yang baru.
Peruntukan period mata pelajaran ugama di sekolah-sekolah rendah dan menengah adalah tidak mencukupi. Di mana bagi sekolah rendah hanya diperuntukan masa 2 period sahaja seminggu. Bagi sekolah menengah hanya diperuntukan men 1, 2 dan 3 sebanyak 3 period dan bagi menengah 4 & 5 sebanyak 5 period. Jika dilihat kepadatan sukatan pelajaran bagi sekolah rendah dan sekolah menengah bawah adalah tidak wajar dengan masa yang diperuntukan. Walau bagaimanapun pada mulai pada tahun 2008 ini, di atas perundingan kedua kementerian maka telah ditambahkan 1 period bagi mata pelajaran Ugama sekolah rendah dan menengah bawah dan diberi ruang lagi untuk menggunakan period MIB jika masih tidak mencukupi untuk mengajarkan mata pelajaran Ugama.
PENUTUP
Pada kesimpulannya bahawa guru, murid dan kurikulum adalah merupakan tiga perkara penting dalam membincangkan isu pendidikan ugama di negara ini. Ini adalah sesuai bagi memenuhi kehendak negara agar kehidupan beragama akan berterusan dan dapat melahirkan anak-anak bangsa yang berilmu, berakhlak dan bertakwa serta dapat membangun, memelihara dan mempertahankan ideologi negara Melayu Islam Beraja.
Untuk itu adalah diperlukan penyemakan semula kurikulum dan cara pendekatan pendidikan agama terhadap mata pelajaran-mata pelajaran yang lain. Di samping mewajibkan Pendidikan agama dalam semua peringkat. Para pendidik juga perlu dipersiapkan dengan berbagai ilmu kerana guru adalah merupakan egen bagi melahirkan “Al mukmin al Salih” dan golongan yang berpegang teguh dengan “Hablun Min Allah” dan “Hablun Min al Nas”.