MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita akan menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa berusaha menuntut ilmu pengetahuan kerana ilmu itu sangat� penting dalam kehidupan manusia, tanpa ilmu kehidupan kita akan berada dalam kejahilan dan kemunduran. Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa ketinggian ilmu pengetahuan merupakan ukuran yang sangat penting dalam membezakan antara kemajuan dan kemunduran sesuatu bangsa dan negara. Kerana itulah kita diwajibkan menuntut ilmu sebagaimana sabda Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang maksudnya :
"Dari Anas bin Malik ia berkata : Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Menuntut ilmu adalah satu kefarduan ke atas setiap Muslim".(Riwayat Ibnu Maajah).
Apabila kita berbicara tentang ilmu dan pendidikan, sudah setentunya kita melibatkan para guru dan pendidik sebagai golongan yang amat penting sebagai ejen pembangunan dan perubahan minda ummah. Tugas seorang guru bukanlah suatu tugas yang mudah, lebih-lebih lagi dalam era yang penuh mencabar ini, yang menuntut pengorbanan dan komitmen yang padu dari para guru dalam mendidik anak bangsa untuk menjadi insan yang cemerlang, berwibawa dan sentiasa mendapat petunjuk serta keredaan dari Allah Subhanahu Wata'ala. Kerana itu kita seharusnya bersyukur di atas pengorbanan dan jasa guru yang telah mendidik dan membimbing kita menjadi manusia yang baik pada hari ini.
Justeru itu sambutan Hari Guru yang kita sambut pada setiap 23 September adalah merupakan salah satu penghargaan dan pengiktirafan kita terhadap pengorbanan serta komitmen para guru dalam menggembleng tenaga membentuk anak-anak bangsa menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Tidak dapat dinafikan tanggungjawab dan peranan pendidik akan lebih mencabar apatah lagi dengan ledakan perkembangan ICT masa kini yang menuntut para guru dan pendidik untuk lebih berusaha gigih bagi menghasilkan anak didik yang benar-benar berilmu, berakhlak mulia, mempunyai jati diri dan mampu bersaing pada peringkat nasional mahupun global.
Oleh yang demikian, jelaslah betapa peranan para guru yang berkualiti itu sangat penting dan kritikal dalam memenuhi hasrat serta harapan negara ke arah menghadapi dan menyusuri pendidikan dalam abad ke-21 ini. Dan ini bertepatan dengan tema Sambutan Hari Guru kali ke-16 tahun 2006 iaitu 'Guru Berkualiti Meningkatkan Daya Saing Bangsa'.
Oleh itu para guru dan pendidik perlu melengkapi diri dengan ciri-ciri kualiti yang diperlukan bagi membawa tahap pendidikan negara ke era lebih cemerlang dan mampu mengangkat kualiti bangsa yang berkemahiran, berpendidikan tinggi dan berpengetahuan luas serta mampu�mempertahankan kedaulatan negara, memperteguh pegangan hidup bersendikan kekuatan iman dan taqwa.
Di antara ciri-ciri�atau kriteria tersebut ialah guru hendaklah mempunyai sahsiah dan akhlak yang baik iaitu bersifat sabar, berlapang dada, tidak putus asa, berwibawa, merendah diri, bijaksana, ikhlas, berkeyakinan serta mengamalkan budaya kerja positif, lebih komited dalam profesion keguruan serta bersemangat untuk menghadapi cabaran pendidikan yang kian mencabar.
Bahkan para guru dan pendidik juga perlu berusaha untuk menambah dan meningkatkan lagi ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa kerana kita tahu bahawa ilmu yang ada pada diri kita ini pun sebenarnya hanyalah sedikit, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Israa' ayat 85 tafsirnya :
"Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh, katakanlah roh itu termasuk urusan Tuhanku dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan hanyalah sedikit".
Adalah tidak dapat disangkalkan lagi bahawa guru yang berkualiti merupakan suatu prioriti atau keutamaan untuk membina bangsa dan negara yang merdeka lagi berdaulat. Apatah lagi dalam persekitaran dunia yang serba kompetitif ini sudah setentunya negara ingin melihat masyarakat dan bangsa mempunyai sikap daya saing yang tinggi kerana ini akan memastikan kewujudan Negara Brunei Darussalam di pasaran global, sama ada di peringkat serantau mahupun antarabangsa.
Kerana itulah guru yang berkualiti sangat-sangatlah diperlukan untuk membentuk pelajar-pelajar menjadi bangsa yang mampu berdaya saing, baik dalam bidang pendidikan agama, ekonomi, politik, sosial, sains dan teknologi maklumat.
Ke arah itu usaha-usaha yang telah dibuat oleh Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan lagi kualiti pendidikan di negara yang bukan sahaja tertumpu dengan menyediakan guru-guru yang berkualiti dan cemerlang di pelbagai bidang, bahkan turut melengkapi prasarana pendidikan yang lebih berteknologi tinggi, menyediakan peluang pendidikan yang lebih variasi, meningkatkan penglibatan ibu bapa dan masyarakat, memberikan peluang latihan kepada tenaga pengajar dan pemimpin sekolah, pendedahan penuntut-penuntut dalam aktiviti-aktiviti dan program di peringkat serantau dan antarabangsa dan sebagainya.
Memandangkan kedudukan guru itu sangat mulia, maka sewajarnya mereka dihormati dan dikenang jasanya sepanjang hayat. Oleh itu marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar mereka yang telah mendidik kita baik di kalangan ibu bapa mahupun guru-guru mendapat rahmat dan pertolongan Allah Subhanahu Wata'ala sepanjang masa. Manakala bagi guru-guru yang telah kembali ke rahmatullah, sama-samalah kita mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat dari Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbalalamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Mujaadilah ayat 11 tafsirnya :
"Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang beri ilmu pengetahuan agama dari kalangan kamu beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan".