MODEL KURIKULUM PELAJARAN UGAMA DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

1.         PENGENALAN
Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, pihak kerajaan amat mementingkan pendidikan Islam. Pendidikan Islam mula diberikan kepada kanak-kanak sejak mereka berada di peringkat pra sekolah hinggalah ke universiti. Untuk menanamkan ajaran-ajaran Islam di kalangan pelajar-pelajar dengan lebih berkesan, maka satu kurikulum yang lengkap,kemas dan tersusun rapi serta berkesinambungan amatlah diperlukan.

Kurikulum ialah rancangan untuk pembelajaran. Semua rancangan mengandungi visi yang mentakrifkan nilai sosial dan struktur yang diterjemah ke dalam pengalaman.  Perkembangan kurikulum ialah proses yang nilainya diterjemah dan disusun ke dalam pengalaman pembelajaran. Guru-guru memainkan peranan penting dalam pelaksanaan kurikulum.  Peranan mereka termasuk menginterpretasi, merancang, memodifikasi dan melaksanakan kurikulum.

2. TITAH KDYMM MENGENAI PENYUSUNAN SEMULA DAN PENGEMASKINIAN KURIKULUM PELAJARAN UGAMA

Kurikulum adalah merupakan salah satu elemen penting dalam membincangkan isu pendidikan ugama Islam. Termasuk juga dalam kurikulum ialah mengenai buku teks dan sukatan pelajaran. Perkara ini turut sama diambil perhatian berat oleh Raja kita terhadap kepentingan pendidikan Agama di Negara ini sebagaimana  yang dititahkan oleh baginda:
“Kerana itu beta ingin melihat peranan ‘besar’ itu dilaksanakan secara berkesan. Dan untuk ini, penyusunan semula atau pengemaskinian semua yang berkaitan dengan persekolahan dan pendidikan agama hendaklah dibuat termasuk juga menyemak sukatan dan kurikulumnya.” (Titah KDYMM, Perutusan Sempena Menyambut Tahun Baru Hijrah 1427 pada 30 Januari 2006)

Baginda menitahkan dengan menyarankan supaya disusun semula dan dikemaskinikan semua yang berkaitan dengan persekolahan dan pendidikan agama termasuk juga meneliti, menyemak sukatan dan kurikulumnya. Kurikulum pendidikan Agama menghendaki pengemaskinian selari dengan tuntutan zaman teknologi maklumat dan era globalisasi asalkan tidak menghilangkan dasar pendidikan Agama iaitu berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

Kandungan kurikulum sekolah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu  sukatan pelajaran dan kandungan mata pelajaran serta segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran (Abdullah Sani, 2005:145-146).

Kementerian Hal Ehwal Ugama sebagai indung kepada Pendidikan Islam telah mengambil langkah dalam mengemaskinikan kurikulum, buku teks, sukatan pelajaran di persekolahan ugama serta peralatan pengajaran dan lain-lain yang berkaitan dengan peningkatan persekolahan ugama peringkat rendah dan menengah termasuklah persekolahan Arab dan Ma’had Tahfiz bermula pada tahun 2006 dan tahun 2008 ini mula digunakan buku-buku teks di persekolahan ugama. Dengan memberi keutamaan peringkat awal pendidikan dari kelas Pra hingga darjah III ialah bimbingan dan didikan yang menumpukan kepada kepentingan Fardhu ‘Ain.

Semua kanak-kanak perlu diberikan bimbingan sepenuhnya dalam menyempurnakan Fardhu Ain. Dengan yang demikian, semua yang terlibat dalam pendidikan awal persekolahan ugama wajib mempastikan bahawa ketika kanak-kanak berada dalam darjah III iaitu apabila mereka berusia 10 tahun, semuanya telah berkebolehan dan sudah terbiasa menunaikan ibadah sembahyang dengan sempurna, bacaannya sempurna, rukun-rukun sempurna, wudhunya sempurna, hal-hal mengenai bersuci dari hadas dan najis juga telah sampai kepada mereka dengan sempurna.

2.1 ISU DAN FAKTOR MENYEBABKAN KURIKULUM GAGAL

Isu yang sering kita dengar mengenai kurikulum sebelum ini ialah kurikulum yang tidak sesuai dengan tahap pemikiran murid misalnya mata pelajaran Faraidh bagi tajuk Munassahat tidak sesuai jika diajarkan bagi darjah VI dalam usia yang 11-13 tahun. Kurikulum bagi darjah pra dan darjah I adalah sama dan berulang. Perlu dikaji dan difikirkan semula kewajarannya.

Sebelum tahun 2008 ini sering diperkatakan dan menjadi isu hangat mengenai buku teks, di mana buku teks ugama telah lapuk, stail lama, ejaan lama, tidak menarik, tidak ada gambar dan ilustrasi, terdapat fakta yang salah dan sebagainya khususnya bagi buku teks Pengetahuan Ugama Islam yang di gunakan di sekolah-sekolah menengah seluruh Negara bagi menengah I, II, III, IV dan V masih tidak berubah dari semenjak lebih 30 tahun yang lalu. Dengan keterampilan buku yang tidak lagi memenuhi peredaran zaman. Ada juga suara sumbang mengatakan jika dulu neneknya yang menggunakan sekarang cucunya masih menggunakan buku teks yang sama. Sepatutnya perkara ini telah diambil berat oleh pihak berkenaan semenjak 20 tahun yang lalu. Memandangkan buku teks ini adalah merupakan satu bahan rujukan dalam menyampaikan kandungan isi pelajaran dan menjadi bahan rujukan dan bacaan pelajar dan orang awam. Walau bagaimanapun penggunaan buku teks baru telah bermula tahun 2008 ini, dengan mengambil kira tentang penampilan, berwarna, menggunakan ejaan jawi Za’aba, bergambar, ilustrasi yang menarik dan sebagainya. Namun belum digunakan secara keseluruhan peringkat persekolahan misalnya sekolah menengah 3, 4 dan 5 masih dalam proses percetakan.

Sebanding dengan buku teks segi sukatan pelajaran juga telah diambil perhatian. Mudahan masalah sukatan pelajaran yang terlalu padat dan terpaksa dihabiskan sebelum menjelang peperiksaan menyebabkan pengajaran guru hanya untuk peperiksaan kognitif semata-mata tanpa mengambil kira sudut afektif dan psikomotornya akan dapat diatasi bersama buku teks yang baru.

Peruntukan period mata pelajaran ugama di sekolah-sekolah rendah dan menengah adalah tidak mencukupi. Di mana bagi sekolah rendah hanya diperuntukan masa 2 period sahaja seminggu. Bagi sekolah menengah hanya diperuntukan men 1, 2 dan 3 sebanyak 3 period dan bagi menengah 4 & 5 sebanyak 5 period. Jika dilihat kepadatan sukatan pelajaran bagi sekolah rendah dan sekolah menengah bawah adalah tidak wajar dengan masa yang diperuntukan. Walau bagaimanapun pada mulai pada tahun 2008 ini, di atas perundingan kedua kementerian maka telah ditambahkan 1 period bagi mata pelajaran Ugama sekolah rendah dan menengah bawah dan diberi ruang lagi untuk menggunakan period MIB jika masih tidak mencukupi untuk mengajarkan mata pelajaran Ugama.

3.         MODEL
3.1       DEFINISI MODEL
Model adalah pola iaitu contoh, acuan ataupun ragam dari sesuatu yang akan dibuat atau seseorang atau sesuatu yang dapat dijadikan contoh (untuk ditiru atau diteladani) (kamus dewan,halaman 894)

4.         KURIKULUM
4.1       DEFINISI KURIKULUM
        i.            Maksud “kurikulum” dari segi bahasa ialah sebagai bidang pelajaran di sekolah.

      ii.            Jika di tinjau dari segi sejarah perkataan kurikulum berasal dari perkataan Latin “curiculum” yang bermaksud ruang tempat dimana pembelajaran itu berlaku.

    iii.            Dari segi istilah pula kurikulum adalah ‘core; kepada ‘business’ pendidikan. Ia merupakan satu rancangan pendidikan yang membendung segala ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai dan norma serta unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang menjadi pilihan masyarakat untuk diwariskan kepada ahli-ahli dari satu generasi kepada satu generasi lain. Rancangan pendidikan ini bertujuan untuk memenuhi keperluan individu dan negara.

Berbagai-bagai definisi kurikulum telah dikemukakan oleh para pendidik, tokoh-tokoh ilmuan dan para sarjana dari berbagai bangsa. Ada pengertian yang sangat luas dan sebaliknya terdapat pengertian yang sempit. Perkataan kurikulum berasal dari bahasa Latin yang luas digunakan oleh bangsa Yunani. ’Curriculum’ dalam bahasa Latin bermaksud ‘ruang tempat pembelajaran berlaku’. Walaupun terdapat berbagai-bagai definisi untuk kurikulum, namun hampir semua makna, atau pengertian kurikulum dari definisi-definisi itu akan kembali ke pengertian asal, iaitu satu rancangan pengajian (Sharifah Alwiah Alsagoff,1986).

Seterusnya, Prof. Dr. Omar Al-Syaibani (1991) menjelaskan kurikulum (manhaj) dimaksudkan sebagai jalan terang yang dilalui oleh pendidik atau guru dengan orang-orang yang dididik atau dilatihnya untuk mengembangkan pengetahuan, keterampilan, dan sikap mereka.

           Menurut Tyler (1949), kurikulum ialah segala pembelajaran yang dirancang dan diarah oleh sekolah bagi mencapai matlamat pendidikan. Definisi meliputi objektif pendidikan, segala pengalaman yang terancang dan penilaian pencapaian pelajar-pelajar.

Menurut Zuharani (1983), ”Kurikulum adalah semua pengetahuan, kegiatan-kegiatan atau pengalaman belajar yang diatur dengan kaedah yang sistematik, yang diterima anak untuk mencapai suatu tujuan”.


Seterusnya, Pg. Dr. Hj. Abu Bakar(2008) menjelaskan:
”Kurikulum adalah maklumat dan ilmu pengetahuan yang diajar oleh guru atau yang dipelajari oleh pelajar di sekolah atau lain-lain institusi pendidikan, dalam bentuk mata pelajaran yang terdapat dalam buku teks dalam setiap tahap pendidikannya”.

Ini bermakna kurikulum itu ialah segala pengalaman yang diperolehi oleh pelajar di sekolah yang mempunyai pengaruh yang baik terhadap kelakuan anak di bawah bimbingan guru bagi mencapai tujuan dan matlamat pendidikan.

Akhirnya dapatlah diambil kesimpulan bahawa kurikulum adalah jalan yang terang segala pembelajaran yang dirancang dan diajarkan dalam semua pengetahuan atau kegiatan atau pengalaman belajar dengan diatur bersistematik supaya dapat mencapai matlamat atau tujuan pendidikan untuk mengembangkan pengetahuan, keterampilan dan sikap pelajar.

4.2       KURIKULUM MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Al-Quran telah menaikkan taraf pembelajaran dan mengekalkan penghormatan tinggi kepada umat Islam. Ini dengan jelas menunjukkan dan menerangkan bahawa dua surah pertama kitab suci ini menekankan harga dan kepentingan kata-kata yang di tulis atau yang dituturkan.

Fiman Allah:
Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku.  (surah al-Alaq: 1-2)

Banyak lagi ayat yang memperkatakan perkara yang menegaskan kepentingan pembelajaran dan taraf ulama’ yang tiada taranya. Antara ayat-ayat tersebut ialah tafsirnya:

        i.            “ bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) Dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang Yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga Yang demikian)   (3:18)

      ii.            "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" (39:9)

    iii.            “Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan” ( 58:11)

Dalam hubungan ini Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, ertinya,
          i.            Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad
        ii.            Mereka yang menghormati orang yang berilmu (‘alim) samalah seperti menghormati aku.
      iii.            Pada hari pembalasan. Dakwat yang mengalir dari tangan orang yang berilmu untuk menghasilkan karyanya adalah sama nilainya seperti darah orang yang mati shahid.

Menurut konsep pendidikan islam, pelajar mestilah tidak berhenti-henti mencari ilmu, mereka harus berdamping dengan guru dan tidak hanya bergantung pada buku teks. Yang lebih penting ialah keperluan untuk memberi pelajar pengkaedahan yang betul supaya mereka tidak hanya menjadi orang yang terpelajar tetapi boleh menyampaikan pemikirannya kepada para pelajar dengan mudah dan jelas.

5.         PERBANDINGAN MODEL TYLER DAN TABA

5.1 Model Kurikulum Tyler 1949
·         Menurut Tyler-kurikulum ialah segala pembelajaran yang diarah, dirancang, dikelola & dilaksanakan oleh pihak sekolah untuk mencapai matlamat pendidikan yg ditentukan.
·         Kurikulum merangkumi objektif pendidikan, segala pengalaman yang dirancang dan penilaian pelajar.
·         Menegaskan penggunaan objektif dalam perkembangan kurikulum dan pendidikan di anggap alat untuk mencapai suatu tujuan.
·         Mengikut Tyler(1949), tujuan sebenar pendidikan ialah untuk membawa perubahan dalam tingkah laku murid-murid.

4 soalan asas kurikulum
Apakah tujuan pendidikan yang perlu dicapai?
Bagaimanakah pengalaman pembelajaran untuk mencapai objektif?
Bagaimana pengalaman pembelajaran disusun untuk pengajaran berkesan?
Bagaimana keberkesanan pengalaman pembelajaran dapat dinilai?

5.2 Model Kurikulum Taba 1962
·         Juga menekankan objektif sebagai platform untuk aktiviti di sekolah – dikenali sebagai kurikulum.
·         Objektif memandu keputusan kurikulum seperti apa yang perlu disampaikan, apa yang perlu ditekankan, apa jenis isi kandungan yang perlu dipilih dan apa jenis pengalaman pembelajaran yang perlu dititikberatkan.
·         Juga dikenali sebagai model pembangunan konsep & mengutamakan penyusunan bahan-bahan pengajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
·         Merupakan kaedah yang berkesan untuk mengajar kandungan kurikulum dalam bentuk generalisasi & diskriminasi.
·         Model ini mengesyorkan 4 strategi pengajaran untuk menggalakkan pemikiran kritis di kalangan murid.
·         Model objektif merupakan satu terjemahan kajian pendidikan kepada amalan pendidikan.
·         Digunakan dalam perkembangan kurikulum dan kajian akademik pendidikan.

Antara kesemua model yang dinyatakan di atas saling digunapakai oleh model kurikulum di Negara Brunei Darussalam. Contohnya seperti 

5.         MODEL KURIKULUM DI BRUNEI DARUSSALAM
5.1 VISI, MISI, MATLAMAT OBJEKTIF KURIKULUM PELAJARAN UGAMA.

Dalam mencapai kurikulum yang seimbang selaras dengan falsafah negara iaitu Melayu Islam Beraja, ke arah pencapaian keberkesanan dalam pendidikan atau pelajaran ugama adalah sangat dititik beratkan kepada pelajar-pelajar yang beragama Islam keseluruhannya di negara Brunei Darussalam.

5.2       VISI
Ke arah membentuk masyarakat yang berilmu, beriman, beramal dan bertaqwa untuk kesempurnaan insan hidup di dunia dan akhirat.

5.3       MISI
Melahirkan pelajar yang kukuh aqidahnya, berkepandaian dan berakhlak mulia melalui Pendidikan Islam yang bersistem, berkualiti dan mantap bersandarkan Al-Quran dan Al-Sunnah.

5.4       MATLAMAT
Meningkatkan kualiti Pendidikan Islam secara formal dan tidak formal bagi pembinaan dan pembentukan insan yang taat berugama, berkepandaian, berakhlak mulia dan taat kepada negara serta pemimpin bagi mendukung falsafah Negara Melayu Islam Beraja.

5.5       OBJEKTIF
                                i.            Mewujudkan sistem Pendidikan Ugama yang kemaskini.
                              ii.            Menyediakan lebih banyak lagi kemudahan pengajaran dan pembelajaran.
                            iii.            Menyediakan kurikulum yang kemaskini, menyeluruh dan menepati hala tuju pencapaian matlamat, misi dan visi Jabatan.
                            iv.            Membuat pemantauan yang berkesan dan berterusan ke atas semua jenis persekolahan ugama.
                              v.            Meningkatkan kualiti pegawai, guru dan kakitangan Jabatan Pengajian Islam melalui latihan/ bengkel/ kursus.
6.         PERANCANGAN KURIKULUM
   Untuk  membentuk individu islam yang beriman perlulah ada proses pendekatan yang melibatkan dalam aspek rohani dan jasmani. Ini kerana sesuatu matlamat yang hendak dicapai mestilah mempunyai perancangan yang berterusan dan tidak terikat dengan sukatan pelajaran atau pun objektif itu sendiri. Apa yang lebih penting ialah matlamat itu boleh dicapai dengan maksud tujuan pelajaran itu diadakan.
Dalam perancangan kurikulum ini diambil kira pelajaran Tauhid di sekolah Ugama sahaja.

6.1       PELAJARAN TAUHID

  • Memupuk semangat cintakan Rasulullah melalui sifat-sifatnya yang empat bermula dari darjah Pra.
  • Mendedahkan sebahagian Rukun Iman dan Rukun Islam dengan cara yang mudah difahami bagi pelajar darjah 1.
  • Sukatan darjah 2 hingga 5 masih dikekalkan kerana telah disusun dengan kemas dan bersesuaian dengan peringkat umur
  • Bagi darjah 6, penyusunan semula memandangkan pelajaran yang kurang relevan diajarkan diperingkat ini. Antara tajuk-tajuk yang difikirkan tidak sesuai diajarkan ialah antaranya “Ajaran-ajaran sesat di Negara Brunei Darussalam” sebab timbulnya ajaran-ajaran sesat sperti al-Arqam, tariqat Abdul Razak, Ajaran Qadiani, Ajaran Bahai dan lain-lain. Tajuk0tajuk tersebut telah digantikan dengan As-Samiyyat, Islam, Iman dan Ihsan.

7.         PENYUSUNAN KURIKULUM
7.1       GURU SEBAGAI PENGURUS KURIKULUM

Di antara perkara yang paling penting di dalam pembentukan setiap kurikulum, tidak terkecuali kurikulum pendidikan Islam, ialah penyusunannya. Untuk penyusunan yang rapi dan berkesan, kerjasama antara pihak sekolah dan pihak penggubal kurikulum amatlah diperlukan. Penyusunan tersebut hendaklah menitik beratkan kesesuaiannya menurut kemampuan pelajar
.
Penyusunan kurikulum yang tepat akan membawa manusia semakin hampir kepada Allah. Seterusnya akan melahirkan generasi manusia “para sahabat” yang intelek, berilmu, beriman dan baramal. Kurikulum yang disusun hendaklah berkesinambungan dari peringkat rendah hinggalah ke peringkat menengah berterusan ke peringkat universiti bersesuaian dengan kehendak dan keperluan Negara.

Selanjutnya, oleh kerana matlamat kurikulum dan pendidikan Islam untuk melahirkan individu yang sempurna, sama ada dari segi rohani mahupun jasmani, mata pelajaran dalam kurikulum itu hendaklah bersifat sepadu. Dengan kata lain mata pelajaran dalam kurikulum pendidikan Islam tidaklah terbatas kepada ilmu-ilmu yang berbentuk teoritis sahaja, baik bersifat naqli mahupun aqli tetapi juga berbentuk praktis, seperti pendidikan jasmani, latihan ketenteraan, teknik, pertukangan, pertanian dan perniagaan. Kurikulum yang semata-mata membekalkan pelajaran yang berbentuk spiritual boleh menyulitkan sesuatu institusi pengajian khususnya dari segi pembangunan material ( Hj. Abdullah Ishak, 1989)

Sementara itu menurut Dr. Hj. Maimun Aqsa, perkara yang perlu didahulukan dalam kurikulum pendidikan Islam ialah al-Quran, Hadis dan juga Bahasa Arab. Mengenai sistem pengajaran dan teknik penyampaian adalah terserah kepada kebijakan guru melalui pengalamannya dengan cara memperhatikan bahan yang tersedia,waktu serta jadual yang sudah ditetapkan oleh pihak tertentu.

Buku-buku teks yang digunakan di sekolah-sekolah ugama pada masa ini hampir keseluruhannya disusun oleh anak-anak Brunei sendiri. Penyusunan semula mata pelajaran-mata pelajaran untuk setiap darjah dan pembahagian masa belajar bagi setiap mata pelajaran telah disusun mengikut kehendak semasa berdasarkan kepada keadaan terutama untuk menyesuaikan dengan buku-buku teks baru yang disediakan oleh Jabatan Pengajian Islam.  (Lihat Lampiran 1)

Kurikulum yang disediakan oleh guru itu hendaklah mempunyai kaedah-kaedah yang bersesuaian dalam pengajaran dan pembelajaran mengikut kognitif, intelektual dan psikomotor setiap murid. Oleh itu pembentukkan objektif amatlah penting untuk mencapai tujuan dan matlamat kurikulum khasnya dan dasar Negara amnya. Setelah meneliti tentang objektif, langkah seterusnya ialah membincangkan aspek-aspek mengenai isi dalam kurikulum. Ianya merupakan alat untuk mencapai objektif mengikut setiap penggal persekolahan yang telah dirancang oleh kementerian Hal Ehwal Ugama, jabatan Pengajian Islam, Unit kurikulum.


8.         PENILAIAN PENCAPAIAN

Penilaian pencapaian dijalankan untuk menentukan sejauh manakah objektif-objektif pelajaran telah tercapai, iaitu sejauh manakah pelajar-pelajar telah memahami pelajaran dan dapat menggunakannya dalam situasi baru. Penilaian yang dijalankan boleh berbentuk lisan atau tulisan. Ia harus berdasarkan perkara-perkara yang telah disampaikan oleh guru. Contohnya, guru boleh menjalankan sesi kuiz yang ringkas untuk menen­tukan aras kefahaman mereka. Sebaliknya, guru mungkin menyediakan satu senarai soalan-soalan di papan gulung untuk dijawab oleh para pelajar. Kedua-dua cara tersebut dapat menilai kefahaman para pelajar terhadap apa yang disampaikan dan menilai sejauh manakah mereka dapat mengaplikasikan perkara-perkara yang telah dipelajarinya. Dalam situasi seperti ini, nyatalah guru dapat menentukan sama ada objektifnya tercapai atau tidak.

Dalam penilaian dijalankan pada tiga peringkat:
i.        Penilaian serta-merta. Cara ini dijalankan semasa pengajaran dijalankan. Melalui pemerhatian tindak balas dan kerja harian pelajar, guru dapat menilai sama ada pelajar dapat memahami pelajaran yang disampaikan.

ii.        Penilaian kemajuan. Ini dijalankan selepas beberapa kemahiran diajar. Penilaian seperti ini bertujuan untuk mengesan penguasaan pelajar terhadap kemahiran-kemahiran yang telah didedahkan. Maklum balas penilaian ini lazimnya dicatatkan dalam laporan prestasi dari semasa ke semasa.

iii.        Penilaian pencapaian. Ini diadakan selepas beberapa unit pembelajaran telah disampaikan. Markah yang diberi kepada pelajar kemudiannya ditukar kepada gred dan seterusnya dicatatkan dalam rekod profil. Penilaian pencapaian biasanya dijalankan pada setiap hujung penggal persekolahan.


Maklum balas dalam bentuk markah yang diperoleh pelajar dalam pelbagai jenis ujian akan dianalis dan ditentukan kemerosotan atau kemajuan bagi setiap pelajar. Pencapaian pelajar yang meningkat baik hendaklah dipuji dan diberi peneguhan. Manakala, bagi pelajar yang telah merosot, satu alternatif hendakah dicari. Pelajar- pelajar yang lemah perlu diberi lebih perhatian agar kelemahan-kelemahan mereka dapat diatasi. Jika perlu, pelajar yang lemah boleh diberi pendidikan pemulihan. Cara ini dapat membantu pelajar tersebut memperoleh prestasi yang lebih baik serta meningkatkan aras keyakinan diri mereka.


Hasil daripada penganalisisan maklum balas, langkah-langkah pengubahsuaian seharusnya dijalankan. Kiranya penganalisisan maklum balas menunjukkan teknik pengajaran itu kurang sesuai, maka ia hendaklah diubahsuai agar pelajar-pelajar dapat menanggap konsep-konsep dengan lebih cepat lagi. Kaedah seluruh kelas, jika masih digunakan setakat ini perlu diubahsuai agar kaedah kumpulan atau individu lebih diberi penekanan. Aras objektif pelajaran yang didapati terlalu tinggi perlu diubahsuai supaya lebih sesuai dengan kemampuan pelajar-pelajar. Objektif-objektif pelajaran yang lebih realistik bermakna, pelajar-pelajar lebih mudah memperolehnya. Dengan ini, mereka berpeluang menikmati perasaan kejayaan yang seterusnya akan membantu mereka meningkatkan lagi konsep kendiri. (Ea Ah Meng, 1987)

8.1       MODEL PENILAIAN KURIKULUM

Pada masa ini terdapat beberapa model penilaian yang boleh dirgunakan oleh penilai kurikulum dengan menyesuaikannya mengikut kehendak atau mengikut ciri-ciri kurikulum yang hendak dinilai itu. Antara yang boleh dikemukakan di sini ialah model Stufllebeam atau C.I.P.P., model Stake atau model KurPensis.

Secara ringkas,model C.I.P.P. yang diutarakan oleh Stuflebeam terbahagi kepada penilaian ke atas empat aspek sesuatu program iaitu terdiri daripada konteks, input, proses, dan produk atau hasil. Dengan itu juga wujudlah perkataan singkatan C.I.P.P.

Menurut Stufflebeam lagi, penilaian boleh dilakukan terhadap sesuatu program dengan menggunakan keempat-empat aspek di atas ataupun menggunakan salah satu daripadanya.

Penilaian ke atas aspek konteks bermakna penilaian ke atas perkara atau hal yang berkaitan dengan rasional objektif. Sementara penilaian ke atas input menumpukan kepada perkara mengenai isi dan yang berkaitan dengannya seperti buku teks dan sebagainya. Seterusnya penilaian ke atas proses pula menumpukan kepada kaedah pengajaran yang dilakukan, interaksi di antara pelajar dengan pengajar, penglibatan guru dalam pengajaran dan penglibatan pelajar dalam pembelajaran, serta perkara lain yang berhubung dengan pengajaran.

Akhirnya, penilaian ke atas produk adalah penilaian mengenai hasil daripada pelaksanaan program tersebut, yakni penilaian ke atas pencapaian yang diperolehi program tersebut.

Rajah di bawah menunjukkan satu model penilaian mengikut C.I.P.P. yang telah diubahsuai dan dipermudahkan. Anak panah yang bertitik menunjukkan bahawa tiap-tiap satu aspek itu boleh dinilai sendirian. Sementara anak panah yang berterusan itu menunjukkan bahawa penilaian juga boleh dibuat berterusan atau serentak ke atas semua aspek program itu daripada aspek konteks sehinggalah kepada produk. Demikianlah juga aktiviti penilaian itu boleh bermula daripada penilaian produk dan kemudian aspek-aspek yang sebelu
9.         PERMASALAHAN KURIKULUM DI BRUNEI

Kementerian Hal Ehwal Ugama sebagai indung kepada Pendidikan Islam telah mengambil langkah dalam mengemaskinikan kurikulum, buku teks, sukatan pelajaran di persekolahan ugama serta peralatan pengajaran dan lain-lain yang berkaitan dengan peningkatan persekolahan ugama peringkat rendah dan menengah termasuklah persekolahan Arab dan Ma’had Tahfiz bermula pada tahun 2006 dan tahun 2008 ini mula digunakan buku-buku teks di persekolahan ugama. Dengan memberi keutamaan peringkat awal pendidikan dari kelas Pra hingga darjah III ialah bimbingan dan didikan yang menumpukan kepada kepentingan Fardhu ‘Ain.

Semua kanak-kanak perlu diberikan bimbingan sepenuhnya dalam menyempurnakan Fardhu Ain. Dengan yang demikian, semua yang terlibat dalam pendidikan awal persekolahan ugama wajib mempastikan bahawa ketika kanak-kanak berada dalam darjah III iaitu apabila mereka berusia 10 tahun, semuanya telah berkebolehan dan sudah terbiasa menunaikan ibadah sembahyang dengan sempurna, bacaannya sempurna, rukun-rukun sempurna, wudhunya sempurna, hal-hal mengenai bersuci dari hadas dan najis juga telah sampai kepada mereka dengan sempurna.

Isu yang sering kita dengar mengenai kurikulum sebelum ini ialah kurikulum yang tidak sesuai dengan tahap pemikiran murid misalnya mata pelajaran Faraidh bagi tajuk Munassahat tidak sesuai jika diajarkan bagi darjah VI dalam usia yang 11-13 tahun. Kurikulum bagi darjah pra dan darjah I adalah sama dan berulang. Perlu dikaji dan difikirkan semula kewajarannya.

Sebanding dengan buku teks dari segi sukatan pelajaran juga telah diambil perhatian. Malahan masalah sukatan pelajaran yang terlalu padat dan terpaksa dihabiskan sebelum menjelang peperiksaan menyebabkan pengajaran guru hanya untuk peperiksaan kognitif semata-mata tanpa mengambil kira sudut afektif dan psikomotornya akan dapat diatasi bersama buku teks yang baru.

9.         KESIMPULAN
Berdasarkan kepada cadangan ini yang diperincikan ialah bahawa pendidikan agama atau istilah pelajaran ugama di Brunei hendaklah mempunyai ciri-ciri keterbukaan, sikap bersifat penyelidikan dan keinginan untuk memupuk pemahaman. Dapatlah disimpulkan kenyataan tersebut seperti berikut:

  1. Pendidikan Islam mencelup keperibadian Muslim dengan celupan yang khas yang membezakan dari bentuk-bentuk pendidikan yang lain. (Hassan Langgulung,1979). Pernyataan di atas memberi gambaran kepada kita bahawa pendidikan Islam merupakan faktor utama yang paling penting untuk membentuk ketinggian peribadi setiap Muslim. Pendidikan Islam mempunyai tujuan-tujuan dan matlamat-matlamat tertentu yang semata-mata untuk mewujudkan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat dan seterusnya untuk memperolehi keredaan Allah s.w.t.

  1. Kurikulum Pendidikan Islam “bertujuan menanamkan kepercayaan dalam pemikiran dan hati genarasi muda, pemulihan akhlak dan membangunkan jiwa rohani. Ia juga bertujuan untuk memperoleh pengetahuan secara berterusan, gabungan pengetahuan dan kerja, kepercayaan dan akhlak dan penerapan amalan teori dalam hidup” (Muhammad Hamid Al-Afendi & Nabi Ahmed Baloch, 1992)


  1. Dalam konteks Negara Brunei Darussalam pihak kerajaan menegaskan tentang kepentingan penyusunan kurikulum secara teliti. Penekanan ini dibuat dengan tujuan untuk melahirkan penuntut-penuntut yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya:
“Di bidang pelajaran, kerajaan beta sedang berusaha untuk meningkatkan lagi taraf pencapaian pelajaran di Negara ini. Sehubungan dengan ini, beta ingin menyatakan bahawa perancangan pelajaran yang tersusun rapi dan teliti lagi konsisten adalah mustahak dalam usaha untuk melahirkan tenaga manusia yang berkemahiran dan bersesuaian dengan keperluan Negara” (Pelita Brunei, 1989)

Manakala dibidang pendidikan khususnya pendidikan agama (Islam) pihak kerajaan tetap mengutamakan pendidikan Islam agar rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang berugama Islam dapat menghayati Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap. Dengan itu negara Islam akan tetap wujud dan bangsa Melayu yang mendaulatkan raja akan terus gemilang yang berpegang kepada konsep Melayu Islam Beraja yang sewajibnya dikekalkan sepanjang zaman:
“Pendidikan pada khususnya mestilah jelas, bahawa keperluan umum tidak akan mengatasi keperluan agama. Dalam makna, pendidikan agama juga hendaklah sama-sama diutamakan. Di peringkat asas, pendidikan agama hendaklah sempurna, sementara di peringkat tinggi pula hendaklah mampu melahirkan ulama dan cendekiawan berwibawa. Jangan sama sekali ia kurang atau dikurangkan. Kerana berdasarkan fakta sejarah di mana-mana sahaja, jika pendidikan agama lemah, maka akan lemah pulalah bangsa” (Himpunan Titah,2006)
Akhirnya, diseru kepada setiap individu agar mengutamakan pendidikan Islam dalam segala aspek kehidupan. Seterusnya di dalam menentukan kejayaan dan keberkesanan pendidikan Islam di setiap peringkat persekolahan maka penyusunan kurikulum pendidikan Islam secara teliti, sistematik sentiasa dikemaskinikan mengikut keperluan semasa hendaklah diutamakan. Manakala bagi menghasilkan kejayaan yang sempurna maka pembentukannya hendaklah melalui kerjasama yang erat semua pihak yang terlibat dalam dunia pendidikan dengan disokong oleh pihak kerajaan.