CABARAN GURU ALAF BARU



PROFESION keguruan yang merupakan profesion tertua di dunia, kini memasuki satu lagi era baru. Dulu peranan utama guru ialah sebagai penyampai pengetahuan. Gurulah yang banyak bercakap dan menyoal. Bagaimanapun kini, peranan guru lebih penting sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran. 


Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih sedia dan peka melahir dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Murid perlu selalu digerak untuk berfikir secara kreatif dan kritikal. Malahan, murid dijangka dapat menyoal guru serta membantu guru membuka luas pintu pembelajarannya. Dahulu, punca pengetahuan adalah dalam bentuk bertulis. Sekarang, lebih banyak bilik darjah ditukar menjadi bilik darjah bestari yang membolehkan pelajar menggunakan komputer untuk mencari lebih banyak pengetahuan dan maklumat. Bagaimanapun, kehadiran guru penting untuk membimbing pelajar membuat pilihan ilmu dan maklumat yang betul. 


Satu lagi peranan penting guru ialah sebagai seorang pembangun negara. Ini kerana di bawah jagaannya adalah sekumpulan manusia muda yang akan diasuh dan dididik supaya menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab dan berguna. Justeru, fokus guru adalah lebih daripada pembelajaran. Ia melibatkan pendidikan meliputi segala aspek meliputi pembangunan mental, fizikal, emosi, sosial dan psikologi. Guru harus berperanan untuk mengenal pasti dan membangunkan potensi diri pelajar. 


Peranan guru ini amat penting dalam menentukan corak pembangunan sesebuah negara. Kita perlu sedar, kejayaan negara sehingga kini, sebahagian besar adalah hasil sumbangan kerjaya keguruan. Ini kerana persediaan bagi pengeluaran tenaga kerja negara di semua sektor bermula dari sekolah yang sudah pastinya memerlukan khidmat dan jasa guru. Guru juga adalah model manusia berkelakuan baik. Guru mesti bebas daripada bersikap negatif dan sempit daripada aspek bangsa, kelas, sosial, kedaerahan dan politik. 


Guru yang berpendirian profesional dalam tingkah lakunya dengan memegang kepada nilai-nilai akhlak dan etika yang positif berkemungkinan mampu mempengaruhi pelajarnya daripada ibu bapa mereka sendiri. Bagi memantapkan profesionalismenya, adalah penting guru menjalani latihan sebelum perkhidmatan. Pendedahan awal ini mendedahkan guru dengan pelbagai kaedah dan kemahiran pengajaran yang perlu seorang guru miliki. Bagaimanapun, latihan tidak terhad kepada sebelum perkhidmatan semata-mata. Dalam semua aspek keguruan, ilmu pengetahuan adalah lebih luas dan mendalam hasil usaha penyelidikan dan diskusi guru-guru pengetahuan. 


Selain itu, kelayakan akademik juga adalah satu lagi perkara yang perlu ditimbangkan. Ini kerana profesionalisme guru itu adalah berpusatkan kepada pengetahuan. Maka, adalah wajar diramalkan, seiringan dengan kejayaan Malaysia meningkatkan kadar pembangunannya, guru-guru ijazah akan bertugas sehingga ke sekolah rendah. Memandangkan guru memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, sifat kerja guru yang begitu khusus memerlukan guru mempunyai kelayakan akademik minimum dan menghadiri program-program latihan sebelum dan semasa perkhidmatan. 


Guru juga perlu mempunyai dan mengamalkan sifat-sifat tingkah laku yang positif. Di samping memperakui akan kepentingan guru, penganugerahan status ini akan dapat menarik calon-calon yang lebih terpelajar dan lebih berkelayakan memohon menjadi guru dan seterusnya akan membantu negara memperoleh kejayaan yang lebih besar.